Mahkamah Rayuan Putrajaya hari ini membenarkan Sirul Azhar Umar memasukkan alasan tambahan dalam petisyen rayuan berhubung sabit kesalahannya.
  
Sirul Azhar, 39, dan Cif Inspektor Azilah Hadri, 34, disabitkan kesalahan dan dijatuhi hukuman mati oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 2009 berhubung pembunuhan warga Mongolia Altantuya Shaariibuu di Mukim Bukit Raja antara 9.45 malam 18 Oktober 2006 dan 9.45 malam hari berikutnya.
  
Rayuan mereka di Mahkamah Rayuan dijadual didengar pada 27 dan 28 Ogos.
  
Panel tiga hakim dianggotai Hakim-hakim Datuk Syed Ahmad Helmy Syed Ahmad, Datuk Abdul Wahab Patail dan Datuk Mohtaruddin Baki hari ini meluluskan permohonan Sirul Azhar untuk memasukkan alasan tambahan dalam petisyen rayuannya setelah pendakwa raya Manoj Kurup tidak membantah permohonan itu.
  
Peguam Hasnal Rezua Merican yang mewakili Sirul Azhar berkata petisyen rayuan anak guamnya itu mengandungi sembilan alasan utama.

Penganalisis politik Abdul Razak Baginda, 50, dituduh bersubahat dengan dua anggota Unit Tindakan Khas Polis Diraja Malaysia itu dalam  pembunuhan Altantuya.
  
Bagaimanapun, pada 31 Oktober 2008, beliau dibebaskan Mahkamah Tinggi tanpa dipanggil membela diri.
  
- Bernama