Wednesday, April 11, 2012

Ku Li bimbang Peneroka Felda akan tinggal sehelai sepinggang –

Harakahdaily 11 Apr 2012

KOTA BHARU, 11 April: Kebimbangan banyak pihak terhadap aset milik peneroka tergadai apabila Felda disenaraikan di Bursa Saham Malaysia dianggap ada asasnya apabila pasaran saham dimanipulasikan.

Bekas Menteri Kewangan, Tengku Razaleigh Hamzah berkata, sudah menjadi kelaziman di mana ada sindiket mempengaruhi turun naik harga saham di pasaran semasa bagi mendapat keuntungan segera.

Katanya, sindiket berkemampuan untuk mempengaruhi harga di pasaran sama ada turun atau naik.

“Kita bimbang peneroka akan terpengaruh dengan permainan mereka. Ketika harga saham rendah tentunya ramai peneroka berminat membelinya dengan jumlah yang banyak sehingga ada yang membuat pinjaman di bank.

“Mereka berbuat demikian dengan andaian akan mendapat keuntungan berganda apabila harga saham meningkat. Namun kita kena ingat harga saham tidak kekal tinggi selama-lamanya.

“Dan apabila harga saham jatuh peneroka yang membeli saham dengan banyak tidak mampu membuat apa-apa lagi. Ketika itu mereka akan hanya tinggal sehelai sepinggang sahaja,” katanya Bicara UT6 bertajuk Perjuangan dan Amanah di KTC malam tadi.

Sebelum ini kerajaan menjanjikan durian runtuh dengan penyenaraian Felda Global Ventures Hondings (FGVH) di Bursa Saham Malaysia. Usaha Felda mahu mendapat mandat daripada peneroka terhadap penyenaraian itu gagal apabila ada peneroka membuat injuksi di mahkamah.

Namun kerajaan BN tetap berusaha memastikan FGVH dapat disenaraikan dengan jaminan tanpa membabitkan tanah milik peneroka.

Bagaimanapun Tengku Razaleigh yang juga anggota parlimen Gua Musang berkata, biar pun kerajaan mendakwa tanah milik peneroka tidak terbabit, namun aset-aset lain milik Felda terlibat dengan penyenaraian itu.

Antaranya tanah-tanah Felda yang tidak menempatkan peneroka, kilang-kilang sawit dan banyak lagi.

“Biar pun kerajaan menjelaskan tanpa melibatkan tanah milik peneroka, namun aset lain juga ada kaitan secara langsung dengan peneroka.

“Saya khuatir dan tidak tahu bagaimana kerajaan mahu mengawal manipulasi pasaran saham dan akhirnya peneroka yang akan rugi,” ujarnya.

No comments:

Post a Comment