Panel tiga anggota dipengerusikan Hakim Datuk Seri Abu Samah Nordin sebulat suara menolak rayuan balas yang dikemukakan polis dan kerajaan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur berhubung isu liabiliti.
Panel itu yang turut dianggotai Hakim Datuk Zaharah Ibrahim dan Hakim Datuk Mohtaruddin Baki, juga sebulat suara menolak rayuan peserta berkenaan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi untuk tidak memberikan ganti rugi teruk dan gantirugi teladan kepada mereka.
Hakim Abu Samah berkata rayuan balas mengenai isu liabiliti itu tidak mempunyai merit.
Beliau juga berkata keputusan Hakim Mahkamah Tinggi untuk tidak memberikan gantirugi teruk dan gantirugi teladan kepada peserta berkenaan adalah betul.
Pada 22 Disember 2009, Mahkamah Tinggi memerintahkan polis dan kerajaan membayar RM30,000 kepada setiap peserta selepas membenarkan saman sivil mereka bagi penangkapan dan penahanan secara salah.
Peserta berkenaan termasuk aktivis tempatan dan wartawan yang menghadiri Persidangan Apcet II pada 9 Nov, 1996 di Hotel Asia di Kuala Lumpur untuk membincangkan pencabulan hak asasi manusia di Timur Timor dan perjuangannya bagi kemerdekaan daripada Indonesia.
Ketika persidangan itu baru sahaja bermula, satu kumpulan menyerbu masuk dan menganggu mesyuarat itu dan susulan itu polis menahan beberapa peserta yang mereka dakwa tidak mematuhi arahan supaya bersurai.
Mahkamah Tinggi juga memerintahkan peserta dibayar faedah dan kos.
Dalam saman sivil itu, mereka menamakan bekas Ketua Polis Kuala Lumpur Ismail Che’ Ros, bekas Ketua Polis Daerah Dang Wangi Zainal Abidin Ali, pegawai penyiasat Cif Insp Tengku Hamzah Tengku Abdullah dan kerajaan Malaysia sebagai defendan.
Peguam Kanan Persekutuan Amarjeet Singh dan Siti Badariah Mohd Yusof mewakili polis dan kerajaan manakala peserta berkenaan diwakili peguam Ranjit Singh, Abdul Rashid Ismail dan Jamie Wong.
- Bernama
No comments:
Post a Comment