Thursday, April 19, 2012

MB Kedah: Kuin tiada masalah kewangan

19 April 2012
Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak

ALOR SETAR - Kolej Universiti Insaniah (Kuin) tidak berdepan masalah kewangan seperti didakwa sesetengah pihak. Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak berkata, Kerajaan Negeri telah memperuntukkan sejumlah RM15 juta kepada Kuin untuk aspek pengurusan dalam belanjawan lalu.

“Sebenarnya isu kewangan tidak timbul. Situasi yang berlaku ialah pada Mac lalu, Kerajaan Negeri terlambat menyalurkan peruntukan kepada Kuin, menyebabkan beberapa perkara tergendala,” katanya.

Azizan mengulas dakwaan Ketua Pembangkang Dun Kedah, Datuk Seri Mahdzir Khalid yang mempertikai kemampuan Kerajaan Negeri membayar balik pinjaman membina kampus induk Kuin, selain mendakwa Kuin kampus Mergong berdepan masalah kewangan, termasuk tunggakan mencecah RM60,000 membabitkan klinik panelnya.

Azizan yang juga Pengerusi Kuin berkata, kemungkinan isu terbabit dibangkitkan selepas parti lawan mendapat maklumat berhubung kelewatan pembayaran gaji kakitangan Kuin serta tunggakan yang belum berbayar sebelum Mac lalu.

“Sekarang masalah itu tidak timbul lagi. Gaji kakitangan sudah dibayar pada 3 April, di mana sebelum ini gaji dimasukkan pada hujung bulan Mac. Ia lewat beberapa hari ekoran lambat menerima peruntukan,” katanya.

Mengulas mengenai hutang tertunggak melibatkan klinik panel, Azizan berkata, sebahagian tunggakan sudah dijelaskan November lalu, dan bakinya dibayar secara ansuran setiap bulan.

“Memandangkan bulan lepas ada kelewatan dalam peruntukan, klinik panel juga lambat terima bayaran. Kita memiliki antara tujuh hingga lapan klinik panel dan cara pembayaran adalah sama dengan syarikat lain. Ini bukan satu masalah yang besar,” katanya.

Azizan berkata, peruntukan daripada Kerajaan Negeri disalurkan kepada pengurusan Kuin secara berperingkat, bukannya tiada peruntukan langsung.

“Mungkin pemimpin Barisan Nasional (BN) bangkitkan isu ini sebab di Kedah tiada isu besar lain. Tambahan pula mereka panik bila melihat kelancaran pembangunan kampus induk Kuin di Kuala Ketil, mungkin bimbang kelak rakyat akui kecekapan pentadbiran Kerajaan Pakatan Rakyat (PR),” katanya.

Kampus Kuin Kuala Ketil dijangka siap penghujung tahun ini, manakala pengajian dijangka bermula pertengahan tahun depan.

Kelmarin, pada Sidang Dun, Azizan menjelaskan kos pembinaan kampus induk berkenaan mencecah RM330 juta manakala pinjaman yang perlu dijelaskan dalam tempoh 15 tahun ialah pada kadar RM44.8 juta setahun. SINAR HARIAN

No comments:

Post a Comment