Harakahdaily, | 20 Apr 2012 |
KUALA LUMPUR: Kelab Pekerja dan Profesional Muda Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPMM) menyokong penuh usaha yang akan dilakukan oleh Bersih 3.0 untuk mengadakan perhimpunan besar-besaran ‘Duduk & Bantah’ di Dataran Merdeka pada 28 April ini.
Pengerusinya, Dr Ghazali Hasbullah berkata, salah satu dari lapan tuntutan yang dikemukakan oleh Bersih 3.0 adalah mengukuhkan institusi awam.
Tambahnya, tidak dinafikan bahawa para penjawat awam dan institusi awam adalah nadi kepada pembangunan negara.
Justeru, katanya jatuh bangunnya penjawat awam dan institusi tersebut boleh mencerminkan kemajuan dan kestabilan sesebuah negara.
Menurut fakta dari Jabatan Perkhidmatan Awam, penjawat awam kini mencecah 1.4 juta orang.
Dari jumlah tersebut, 42.9 peratus terdiri dari polis dan guru.
Katanya, mengikut pengalaman lepas, dua kumpulan itu mendapat nasib yang berbeza di bawah pentadbiran kerajaan Umno BN.
Menurutnya, Polis Diraja Malaysia diguna sewenang-wenangnya bagi menghalang Pakatan Rakyat menyatakan hak mereka sedangkan setiap rakyat mempunyai hak-hak tertentu dalam sebuah negara yang merdeka dan demokrasi ini.
“DPMM menyeru Polis Diraja Malaysia agar bertindak secara profesional dalam melaksanakan tugas dan menegakkan kedaulatan undang-undang, bukannya mengikut telunjuk politik kotor dari Umno BN,” katanya kepada Harakahdaily.
Katanya lagi, guru pula penjawat awam yang selalu diugut, diarah melakukan sesuatu di luar norma kerja harian mereka, yang mana antara ugutan yang biasa adalah penukaran tempat kerja dan tidak naik pangkat.
“Dakwaan ini bukan kosong, malah telah berlaku kepada ramai guru yang diarahkan bertukar 24 jam akibat dari campur tangan politik Umno BN kerana kononnya guru-guru tersebut menyokong pembangkang,” ujarnya.
Tambahnya, Umno BN juga menyalahgunakan kuasa dengan menggunakan jentera kerajaan sepenuhnya semasa berkempen.
“Perkara sebegini kita perhatikan setiap kali pilihanraya. Kenderaan jabatan digunakan tanpa rasa segan silu dalam kempen parti mereka.
“Lebih menyedihkan lagi para penjawat awam tertentu dipaksa turun untuk membantu kempen calon Umno BN,” katanya.
Menurutnya lagi, jika penjawat awam tersebut cuba bersuara, mereka akan diugut untuk ditukarkan ke pendalaman dan tidak dinaikkan pangkat.
Bagi beliau, sudah sewajarnya institusi awam diperkukuhkan dan direformasi agar tiada campur tangan politik kotor pemerintah.
“Kelab Pekerja dan Professional Muda DPMM, sekali lagi meyatakan sokongan dalam menegakkan keadilan dan menentang kezaliman seperti tuntutan yang dibuat oleh Bersih 3.0 ini,” ujarnya.
Katanya, Kelab Pekerja dan Professional Muda DPMM juga menyeru kepada seluruh rakyat Malaysia untuk turut serta memberi sokongan yang pada demi melihat sebuah Negara Malaysia yang benar-benar aman dan sejahtera.
“Ingatlah usaha sedikit kita ini akan memberi kesan yang besar kepada kesejahteraan generasi anak cucu kita yang akan datang,” ujarnya.
Beliau menambah, Kelab Pekerja dan Professional muda juga ingin menghulurkan bantuan secara professional kepada Bersih 3.0 bagi melicinkan lagi perhimpunan yang dirancang.
“Saya juga menyeru kepada mana-mana badan professional atau individu untuk turut serta menjadi sukarelawan pada 28 April nanti,” ujarnya lagi.
No comments:
Post a Comment