The Malaysian Insider
KUALA LUMPUR, 11 April — Di sebalik keyakinan Umno-Barisan Nasional (BN) untuk menawan Kelantan, Timbalan Pesuruhjaya III PAS negeri Datuk Nik Mohd Amar Nik Abdullah berkata parti Melayu terbesar itu “dikira cukup baik” jika dapat mempertahankan tujuh kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dimenangi empat tahun lalu pada pilihan raya umum ke-13 nanti.
Jelas beliau, sukar untuk Umno-BN Kelantan untuk merampas kerajaan negeri pimpinan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat itu.
“Saya cakap pandangan peribadi saya, kalau Umno dapat mempertahankan tujuh kerusi itu sudah dikira cukup baik bagi Umno,” katanya kepada The Malaysian Insider.
“Ada kemungkinan kita boleh ambil balik, kalau tidak semua kerusi, satu atau dua kerusi boleh ambil kalau kena gaya.”
Nik Mohd Amar berkata walaupun matlamat Umno-BN Kelantan sama seperti matlamat PAS-Pakatan Rakyat untuk menawan Putrajaya namun banyak sebab mengapa parti itu tidak boleh menawan Kelantan yang diperintah PAS sejak lebih 20 tahun lalu.
Tambah beliau, selain tiada isu besar yang boleh mengubah aliran sokongan pengundi Umno Kelantan juga berdepan dengan masalah dalaman yang serius.
“Harapan Umno untuk rampas Kelantan, itu harapan dari dulu... macam kita mahukan Putrajaya. Kalau sekarang sukar bagi Umno kerana sokongan rakyat kepada PAS masih kukuh, tiada isu besar yang boleh ubah sokongan itu dan Umno sendiri berpecah... Umno Kelantan menghadapi perpecahan dalaman yang serius.
“Umno ada masalah dalaman, macam mana nak rampas Kelantan? Kalau tiada perpaduan sesama ahli macam mana nak menang seperti kes Umno Bahagian Tanah Merah yang kini sudah dibawa ke mahkamah,” katanya.
Umno-BN kini menguasai tujuh kerusi DUN Kelantan yang kesemuanya berjumlah 45 kerusi.
Sebelum ini Pengerusi Perhubungan Umno Kelantan Datuk Seri Mustapa Mohamed bahawa parti itu akan memberi tumpuan khusus terhadap 23 kawasan DUN daripada 45 kerusi dalam usaha untuk merampas negeri itu daripada PAS pada pilihan raya umum ke-13 nanti.
Mustapa dilaporkan berkata keyakinan untuk menawan Kelantan adalah berdasarkan perubahan yang berlaku di peringkat akar umbi kini seperti yang ditunjukkan pada pilihan raya kecil DUN Galas dan Manek Urai.
Tambah Nik Mohd Amar, PAS berkeyakinan untuk mempertahankan Kelantan cuma bimbang akan strategi kotor yang akan digunakan Umno-BN termasuk membawa masuk pengundi hantu.
“Pada pandangan kita ada keyakinan untuk mempertahankan Kelantan cuma kebimbangan kita adalah usaha Umno membawa masuk pengundi luar ke Kelantan, membawa masuk pengundi hantu.
“Ini yang kita dengar akan diguna pakai di Kelantan, ini yang kita bimbang kerana perkara ini pernah berlaku di Terengganu yang jumlah pengundi meningkat secara tiba-tiba dan sedang berlaku di Selangor,” katanya menambah Umno tidak boleh menang jika bertanding secara adil dan demokratik.
No comments:
Post a Comment