kosmo

KUALA LUMPUR - Seorang penjenayah dicekup ketika cuba bersembunyi dengan hasil curi di atas bumbung sebuah rumah teres dua tingkat di Desa Setapak, Wangsa Maju di sini kelmarin selepas memecah masuk rumah jiran bersebelahan.
Lelaki warga tempatan itu dikatakan memecah masuk sebuah rumah yang pada ketika itu tiada berpenghuni pada kira-kira pukul 10 malam serta melarikan beberapa barang yang dicuri.
Bagaimanapun, perbuatannya itu disedari jiran tetangga yang bertindak memberkas suspek sebelum menghubungi polis.
Ramai penduduk di kawasan perumahan itu keluar bagi membantu menangkap penjenayah terbabit.
Dalam keadaan kelam-kabut itu, suspek berumur 36 tahun itu melarikan diri dengan memasuki rumah bersebelahan dan bersembunyi berhampiran tangki air yang terletak di siling rumah tersebut sebelum diberkas polis dan penduduk setempat.
Ketua Balai Polis Wangsa Maju, Cif Inspektor Mispani Hamdan berkata, polis turut menemui barangan dipercayai hasil pecah rumah antaranya komputer riba, kamera dan telefon bimbit daripada suspek.
No comments:
Post a Comment