Seorang siswa cedera apabila kumpulan yang berkhemah di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur diserang sekumpulan samseng tidak dikenali dalam satu kejadian awal pagi ini, menurut saksi.
Kumpulan samseng itu mengepung pelajar di tapak khemah tersebut dan mula mengganggu serta kumpulan siswa berkenaan dalam kejadian bermula kira-kira jam 2.45 pagi.
Koordinator Gerakan Demokratik Belia dan Pelajar Malaysia (Dema), Heng Kiah Chun memberitahu Malaysiakini bahawa kumpulan samseng tersebut kemudiannya mengasari siswa berkenaan dan turut merobohkan khemah mereka.
Pelajar yang mengalami kecederaan itu dibawa ke hospital.
Heng berkata, siswa berkenaan bagaimanapun tetap bertenang dalam situasi tersebut.
Kumpulan samseng itu juga naik berang apabila pelajar berkenaan cuba merakam insiden tersebut menggunakan kamera dan telefon bimbit.
Kumpulan samseng itu kemudiannya merosakkan sebahagian daripada alat rakaman tersebut.
Heng berkata, pegawai polis seramai lebih sepuluh orang yang berada berdekata kawasan itu juga tidak bertindak sehinggalah pemimpin pelajar berkenaan meminta pertolongan daripada mereka.
Kumpulan samseng berkenaan meninggalkan kawasan itu apabila polis tiba dan beberapa orang daripada mereka turut ditahan, menurut saksi.
Kira-kira 100 orang pelajar berkenaan berkhemah di kawasan itu sejak Sabtu lalu untuk menuntut pendidikan tinggi percuma dan juga supaya pinjaman melalui Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional dihapuskan.
Pelajar berkenaan akan membuat laporan polis atas insiden tersebut hari ini. Malaysiakini
VIDEO l 4.58 min
No comments:
Post a Comment