SUBANG JAYA: Hanya kerana bermain basikal di dalam rumah dan merosakkan basikal adiknya, seorang kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun teruk dibelasah bapa tirinya di rumah mereka di Puchong Utama, di sini, Khamis lalu.
Kejadian itu disedari guru mangsa yang mendapati kanak-kanak itu bengkak di kepala, pendarahan dalam mata serta luka di kiri dan kanan lengannya akibat dibelasah dengan tali pinggang ketika datang ke sekolah, jam 9 pagi, keesokan harinya. Menurut sumber, mangsa bermain basikal di dalam rumah sebelum dimarahi bapa tirinya. “Tidak puas hati dimarahi, mangsa memberontak dengan merosakkan basikal adiknya sebelum dikejar bapa tirinya yang kemudian membelasah kanak-kanak terbabit dengan tali pinggang.
“Mangsa bengkak di kepala serta pendarahan di dalam matanya. Kedua-dua lengan serta belakang badan mangsa turut cedera akibat dilibas dengan tali pinggang,” katanya.
Sehubungan itu, guru mangsa yang berusia 31 tahun membawa mangsa ke klinik untuk mendapatkan rawatan sebelum membuat laporan di Balai Polis Bukit Puchong untuk siasatan lanjut.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Yahaya Ramli ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan guru terbabit dan berkata, mengikut keterangan mangsa, kejadian berkenaan kali pertama berlaku.
“Bagaimanapun, kes disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan dengan sengaja dan sekiranya sabit kesalahan boleh dipenjara tidak melebihi satu tahun atau denda tidak melebihi RM2,000 atau kedua-duanya sekali,” katanya.
No comments:
Post a Comment