Sunday, April 8, 2012

Terkini : Umno-BN semakin terdesak

Kerajaan UMNO-BN dilihat semakin terdesak dengan menggunakan ahli-ahli Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang bermasalah untuk membangkitkan isu yang dikitar semula demi menutup isu besar yang kini dihadapi oleh mereka.
Adun Sri Muda, Shuhaimi Shafiei mendakwa, isu yang dimainkan semula berkaitan pemilikan saham oleh Adun Bukit Antarabangsa, Azmin adalah bukti bahawa UMNO-BN ketandusan isu untuk menyerang keutuhan PKR.
” Perkara ini sudah dibangkitkan sejak 1990-an sehingga 2012 dan Azmin Ali sudah memberi penjelasan dan ini membuktikan perkara ini sengaja diungkit semula untuk menutup kesalahan lain yang dilakukan oleh UMNO-BN,” jelas Shuhaimi ketika dihubungi Media Selangorku hari ini.
Menurutnya, beberapa pendedahan yang dibuat menunjukkan jumlah angka yang berbeza-beza dan tiada jumlah yang tepat berkaitan jumlah saham yang dimiliki oleh Azmin.
Beliau turut mengulas mengenai pemecatan Ketua Penerangan PKR Ampang, Mohd Isa Mohd Saidi yang membuat kenyataan terbuka di media massa milik Kerajaan UMNO-BN pada hari Rabu lalu.
“Mereka ini merupakan ahli-ahli parti yang tidak mempunyai disiplin dan mempunyai masalah dan berkemungkinan kecewa disebabkan parti tidak memberi kontrak kepada mereka serta berkemungkinan mereka diupah untuk memburukkan PKR,” tambah Shuhaimi yang juga Ketua Penerangan PKR Selangor
Shuhaimi turut menambah, menjelang Pilihanraya ke 13 akan datang, akan lebih ramai lagi ahli PKR yang akan menyerang pemimpin mereka sendiri.
Malah, menurut Shuhaimi, ahli-ahli PKR yang bermasalah ini mempunyai hubungan baik dengan beberapa NGO milik UMNO seperti PERKASA dan PEKIDA serta mereka sentiasa mencari masa yang sesuai untuk memburukkan PKR.

No comments:

Post a Comment