Monday, May 21, 2012

Akhbar MCA siar wawancara 2 bulan lalu - dah basi

Harakahdaily,
20 Mei 2012

(Wawancara yang berjalan 3 April lalu yang baru disiarkan oleh The Star hari ini)

KUALA LUMPUR: Selepas hampir dua bulan berlalu, akhbar MCA, The Star baru menyiarkan berita kononnya Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang tidak mahu bertanding dalam pilihan raya umum nanti.
Ia adalah berita basi dan sudah boleh dianggap tertinggal zaman.

Itulah yang boleh dikatakan kepada berita sensasi yang disiarkan oleh The Star hari ini melalui  wawancara satu muka surat penuhnya dengan Presiden PAS.

Wawancara itu sebenarnya telah diadakan hampir dua bulan lalu iaitu pada 3 April 2012 di Pejabat Agung PAS, Jalan Raja Laut.

Menurut Setiausaha Politik Presiden PAS, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar (Gambar bawah), memang betul, ketika The Star dan lain-lain media  mewawancara Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dua bulan lalu, itulah sikap beliau.

"Tetapi seminggu selepas itu segala-galanya sudah berubah apabila mesyuarat PAS Pusat memutuskan Presiden PAS masih perlu bertanding," katanya kepada Harakahdaily.

Akhbar The Star hari ini menyiarkan berita sensasi kononnya Presiden PAS itu tidak mahu bertanding dalam pilihan raya umum akan datang samada peringkat DUN atau peringkat Parlimen.

Ahli Parlimen Marang dan Adun Rhu Rendang, Terengganu itu juga dilaporkan berkata akan mencari pengganti kepada beliau sebagai presiden PAS.

Laporan ini amat memeranjatkan banyak pihak khasnya kepimpinan PAS bagaimana isu yang sudah lama selesai tiba-tiba timbul kembali.

"Inilah bagi saya akhbar yang tertinggal zaman dan sampai sekarang saya tidak faham kenapa wawancara yang berjalan hampir dua bulan lalu baru disiarkan oleh The Star," kata Samsury.

Beliau tidak faham apa tujuan akhbar berkenaan menyiarkan wawancara itu sekarang.

Ekoran itu, beliau melahirkan kekesalan dan mempertikaikan kredibiliti akhbar milik MCA itu.

No comments:

Post a Comment