Keadilandaily
(Oleh Mohd Martin Kahar)KUALA LUMPUR 3 Mei: Pengerusi Bersama Bersih, Datuk Ambiga Sreevenasan mendesak Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) menubuhkan inkuiri awam menyiasat keganasan polis terhadap peserta Duduk Bantah Bersih 3.0, di ibu negara, Sabtu lalu.
Beliau berkata, banyak bukti menunjukkan polis sengaja mencetuskan provokasi dan bertindak ganas walaupun sebelum itu perhimpunan tersebut berjalan aman.
Katanya, dalam negara demokrasi, hak berhimpun secara aman perlu dihormati dan tanggungjawab menjaga keamanan terletak pada bahu penganjur serta pihak berkuasa.
“Namun pada Bersih 3.0, pihak penguatkuasa meletakkan tanggungjawab ini sepenuhnya kepada penganjur. Kita telah melaksanakan tanggungjawab ini sebaik mungkin sehinggalah polis menembak gas pemedih mata.
“Terdapat beberapa ketika polis sengaja memprovokasi rakyat. Mereka bertindak tanpa undang-undang. Apabila ia berlaku, tanggungjawab itu beralih kepada polis untuk mengawal situasi yang mereka mulakan,” katanya dalam satu kenyataan.
Ambiga turut mempersoalkan siapakah yang mengarahkan polis bertindak keras terhadap peserta.
Beliau juga mempertikai tindakan beberapa anggota polis memakai baju-T Bersih dan mereka yang ‘berbaju biru’ tanpa nombor identiti dan nama.
“Adakah benar ramai orang yang dibawa masuk ke himpunan untuk menimbulkan kekacauan. Jika benar, siapa bawa mereka?
“Bagaimana anda menerangkan sikap polis yang berbeza sebelum dan selepas gas pemedih mata dilepaskan. Apakah arahan yang diberi? Mengapakah kerajaan melalui media perdana tidak sanggup untuk memberikan gambaran menyeluruh insiden?” soalnya.
Beliau berkata, di sebalik keganasan yang berlaku, satu fakta yang tidak boleh dilupakan ialah 250,000 rakyat tetap berani tampil menuntut pilihan raya adil dan bebas.
“Mereka terdiri daripada rakyat Malaysia dari pelbagai latar belakang – tidak kira tua dan muda. Mereka datang dari seluruh negara, ada juga yang datang daripada Sabah dan Sarawak.
“Mereka hadir walaupun diberi amaran oleh kerajaan, pengangkutan yang serba kurang dan sekatan jalan raya untuk menghalang mereka,” katanya.
Short URL: http://www.keadilandaily.com
No comments:
Post a Comment