12/05/12
DAP
hari ini mengisytiharkan pemulauan penuh terhadap panel bebas bagi
menyiasat dakwaan kekerasan dalam perhimpunan BERSIH 28 April lalu
selagi ia diterajui oleh bekas ketua polis negara Tun Hanif Omar.
Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng berkata, walaupun Hanif mempertahankan
diri dengan rekod prestasinya dalam suruhanjaya lain sebelum ini,
tuduhannya terhadap perhimpunan BERSIH adalah kesilapan besarnya.
Hanif sebelum ini dilaporkan mendakwa BERSIH diresapi golongan komunis
dan menyokong pandangan bahawa perhimpunan itu cubaan menggulingkan
kerajaan.

"Sebaliknya, dengan membuat tuduhan liar seperti itu, beliau berpotensi
untuk menjadi saksi dan bukan ahli panel," katanya sambil menyifatkan ia
konflik kepentingan yang jelas.
Semalam, Majlis Peguam juga membuat pendirian tidak akan mengambil bahagian dalam panel bebas itu dengan alasan yang sama.
Dalam kenyataannya hari ini, Lim juga menyokong cadangan BERSIH supaya
panel itu diketuai pelapor Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu Frank La
Rue, rakan sekerjanya Maina Kiai, serta penglibatan Suruhanjaya Hak
Asasi Manusia Malaysia (Suhakam).
Hanif dilantik mengetuai enam anggota panel itu yang melibatkan bekas hakim, pengamal media dan ahli akademik di universiti.
No comments:
Post a Comment