Monday, May 14, 2012

Isu akaun NFC: Bekas kerani bank dakwa ditekan

Malaysiakini
  Mei 14 2012  
Seorang bekas kerani Public Bank mendakwa ditekan oleh bekas majikannya itu yang menjalankan siasatan ke atasnya berhubung dakwaan bahawa beliau mendedahkan butiran akaun pengarah National Feedlot Corporation.

Johari Mohamad, mendakwa beliau disoal siasat oleh pegawai Public Bank dan Bank Negara selama lebih seminggu sebelum diberikan surat tunjuk sebab.

Johari berkata beliau kemudiannya meletak jawatan pada 2 Mei lalu atas alasan tidak tahan dengan tindakan berkenaan.
"Saya telah melalui proses siasatan dalaman di Public Bank. Akibat tekanan di tempat kerja dan pelbagai tindakan yang diambil terhadap saya, saya telah membuat keputusan untuk berhenti kerja.

"Saya telah pun menyerahkan surat perletakan jawatan ekoran aduan yang dibuat oleh Datuk Seri Dr Mohamad Salleh Ismail," katanya.

Beliau tampil bersama naib presiden PKR N Surendran dan pengarah strategi parti itu Rafizi Ramli dalam satu sidang media hari ini.

No comments:

Post a Comment