11 Mei 2012
Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang mempersoalkan sama ada mereka yang dipanggil menyerah diri dapat dijamin keselamatan mereka dan tidak berdepan dengan kemungkinan tindakan kekerasan dan dipukul sekali lagi semasa siasatan.
Tambah beliau, desakan bertalu-talu dari Polis DiRaja Malaysia (PDRM) supaya individu yang dikenal pasti menyerahkan diri bagi melengkapkan siasatan hanya terarah kepada peserta demonstrasi sahaja, sedangkan tindakan segelintir pihak polis yang bertindak di luar batas undang-undang dibiarkan begitu sahaja.
“Umum mengetahui bahawa kebanyakan mangsa yang menerima layanan buruk dan dicederakan dalam perhimpunan Bersih 3.0 telah berhadapan dengan kekasaran pihak polis ini setelah mereka digari, selain dari dipukul dan disepak secara bertubi-tubi oleh pihak keselamatan yang telah mengheret mereka yang sedang dalam proses bersurai.
“Kita akur bahawa penahanan seseorang adalah di bawah bidang kuasa pihak polis, dengan merujuk kepada peruntukan tertentu, tetapi tindakan memukul mereka yang berhimpun ini, apatah lagi yang sedang bersurai adalah salah dan sangat zalim sifatnya,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Rabu lalu, Ibu Pejabat Polis Bukit Aman memberi peringatan terakhir iaitu tempoh selama tujuh hari kepada semua peserta Bersih 3.0 yang dicari agar menyerah diri segera sebelum polis akan memburu mereka sehingga ke rumah.
Peringatan itu dinyatakan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayahnya, Datuk Seri Mohd. Bakri Mohd. Zinin kepada 116 peserta perhimpunan itu termasuk tambahan 25 lagi yang akan disiarkan menerusi laman sosial Facebook Polis Diraja Malaysia (PDRM).
No comments:
Post a Comment