Sunday, May 6, 2012

Kartunis angkat Pak Samad sebagai ‘Sasterawan Rakyat’

Keadilandaily

(Oleh: Masdar Wahid)

KUALA LUMPUR 5 Mei: Sekumpulan kartunis dikenali sebagai Kumpulan Kartunis Indipenden (KKI), menghargai jasa dan sumbangan Datuk A Samad Said dengan mengiktiraf beliau sebagai Sasterawan Rakyat.
Kartunis Zunar berkata, pengiktirafan itu dibuat kerana karya yang dihasilkan Sasterawan Negara itu bukan untuk kepentingan sendiri semata-mata, sebaliknya diabadikan demi membela rakyat terbanyak.

“Hari ini, KKI mengiktiraf seorang seniman dan budayawan yang mengabdi karya-karyanya demi membela rakyat, membuka mata rakyat dan konsisten berjuang digaris depan membimbing rakyat.
“Datuk A. Samad Said tidak mengharap darjat dan kebesaran, malah sanggup menempuh rintangan, biar berdepan dengan kekuasaan dan hujung senapang demi sebuah prinsip dan kehormatan manusia,” kata Zunar atau nama sebenarnya, Zulkiflee Anwar Haq.

Beliau berkata demikian dalam kenyataan yang dibacakan dalam satu majlis anjuran KKI di pejabatnya di Brikfields hari ini sebelum menyampaikan trofi penghargaan kepada Samad Said.
Pak Samad sebelum ini diberikan peranan sebagai pengerusi Bersama Bersih 3.0 dan menggembelengkan rakyat untuk berhimpun di Dataran Merdeka pada 28 April lalu.

Himpunan itu menyaksikan 300,000 rakyat berhimpun di Kuala Lumpur menutut kerajaan melaksanakan pilihan raya bersih dan adil.
Selain itu, beliau juga sebelum ini dilihat tegas dalam menyatakan pendirian berhubung pelbagai isu seperti isu dasar Pembelajaran Sains dan Matematik Dalam bahasa Inggeris (PPSMI).

Menurut Zunar, seniman merupakan golongan yang dianugerahkan Allah dengan bakat, namun ia bukan sekadar keistimewaan kerana perlu datang dengan tanggungjawab.
“Seniman rakyat adalah seniman yang berkorban tenaga dan minda, menyumbang bakat dan titik peluh demi kemerdekaan sebuah bangsa dalam erti kata sebenar.

“Datuk A. Samad Said juga adalah contoh teladan kepada kami para kartunis, seniman dan rakyat Malaysia seluruhnya,” katanya lagi.
Dalam Majlis itu, Pak Samad, isterinya dan kumpulan KKI yang memakai baju kuning Bersih, menyanyikan lagu Bersih yang didendangkan oleh seniman Nik Jidan, beramai-ramai.
Majlis turut dihangatkan dengan nyanyian lagu Asalkan Bukan Umno BN yang dicipta dan dinyanyikan  Nik Jidan, bersama hadirin yang mengunjungi pejabat Zunar.

KKI ialah kumpulan Kartunis yang memperjuang hak kartunis untuk berkarya secara bebas tetapi bertanggungjawab dengan menolak budaya mengampu dan rasuah.

KKI dianggotai Nor Azlin Ngah (Jonos), Azmie Md Taha, Johnny Ong, Azman Md Noh (AMN), Nor Afendi Ramli (Ronasina), Abdullah Jones, Amier Hamzah Hashim (Ibnu Kaduk), Azhar Saad (Art), Azlan Isa (Orang2), Sham Saimun Ezil (Along), Lili Zam (Haili) dan Amir Hakim (Ahyat).

No comments:

Post a Comment