1 Rejab 1433H,
Sebuah akhbar Singapura versi online menyindir dengan menyebut bayangkan apa akan terjadi jika ada pengundi yang datang mengundi pada pilihan raya umum kelak dengan nama Kuda, Harimau, Kangkung, Timun serta Elvis Presley, Reagan atau A. Ramlie bin Jefridin.
Para pengundi yang mempunyai nama-nama luar biasa itu kini menjadi bahan yang 'memeningkan kepala' para pegawai Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Malaysia, sedang para pengkritiknya terus 'mengejek' dan mempersoalkan kewujudan para pengundi itu, lapor sebuah akhbar harian tempatan.
Pihak SPR, bagaimanapun, menekankan bahawa rekod-rekod Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) membuktikan nama-nama luar biasa itu sebagai para pengundi yang tulen, kata akhbar tersebut berdasarkan laporan akhbar The Star, semalam.
Para pengkritik SPR sebaliknya mengejek dan mempermainkan nama-nama luar biasa dalam senarai 12.8 juta pengundi di Sabah dan Sarawak itu, yang ada kalanya seperti nama-nama haiwan, sayur-sayuran dan orang-orang ternama di dunia.
Mereka juga mempersoalkan sama ada pemilik nama-nama itu benar-benar wujud.
Bagaimanapun, ketua SPR, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof, dipetik oleh The Star sebagai berkata para pengundi yang mempunyai nama-nama luar biasa itu, yang sebahagian besarnya ditemui di kawasankawasan pedalaman Sabah dan Sarawak adalah para pengundi tulen.
Beliau berkata pihak suruhanjaya telah dituduh secara tidak adil sengaja mengada-adakan nama-nama tersebut dan mendaftarkan mereka sebagai 'pengundi hantu'.
'Sukar dibayangkan bahawa para pengkritik suruhanjaya gagal memahami bahawa ini adalah di luar kawalan kami.
'Kami mempunyai (nama) orang seperti Elvis Presley, Reagan dan A. Ramlie bin Jefridin dalam senarai pengundi. Tetapi, orang-orang ini wujud dan adalah warga Malaysia tulen,' kata beliau kepada The Star.
Tan Sri Abdul Aziz berkata ada juga pengundi yang mempunyai nama-nama ganjil seperti Atas Jalan, Tepi Jalan, Machine Gun dan Boeing.
'Asalkan butir-butir kelahiran mereka sejajar dengan rekod-rekod JPN, kami tidak boleh mempersoalkan status mereka dan harus mendaftarkan mereka sebagai pengundi.
'Saya harap orang ramai memahami hal ini dan tidak mudah dipengaruhi oleh mereka yang giat berusaha mahu mencemarkan reputasi kami,' jelas beliau.
Tan Sri Abdul Aziz berkata pihak SPR terus menerima selaran atas sebab-sebab di luar kawalannya walaupun para pegawainya telah berusaha yang terbaik untuk 'membersihkan dan mengemas kini' senarai pengundi itu.
Satu lagi contoh, menurutnya, adalah senarai pengundi kira-kira 15,000 orang yang mempunyai nombor kad pengenalan tidak sepadan dengan jantina mereka, seperti yang ditetapkan oleh JPN.-BO
Pahlawan30

No comments:
Post a Comment