28 May 2012
sinar harian
KUALA
TERENGGANU - Mahkamah Majistret, di sini, semalam gempar apabila pemuda
yang dituduh atas kesalahan mencuri di sebuah kedai menjual haiwan
peliharaan, melondehkan seluarnya sejurus masuk ke dalam kandang
tertuduh.
Perlakuan
tertuduh, Mohd Khairul Hamimi Mohd Sabri, 25, yang separuh bogel itu
telah menggemparkan suasana di mahkamah, sebelum Majistret Abdul Hayyi
Salim terpaksa mengarahkan polis bertugas agar menggari kedua belah
tangannya sepanjang pertuduhan dijalankan.
Bukan
itu sahaja, dia yang berasal dari Kampung Tebakang, Bukit Payung,
Marang turut meracau-racau kononnya menampakkan dia seorang yang tidak
waras sambil memohon agar mahkamah menghantar dirinya ke wad sakit jiwa
kerana mendakwa sudah lama tidak makan ubat.
“Bos
(Majistret), saya memang melakukan curi itu tetapi bos masukkan saya
dalam hospital sebab saya gila. Sekarang ini, kepala saya tengah sakit
dan saya perlu makan ubat,” katanya yang telah menarik perhatian orang
awam yang berada di galeri awam mahkamah.
Terdahulu,
Mohd Khairul Hamimi mengangguk faham ketika pertuduhan mengikut Seksyen
457 Kanun Keseksaan kerana melakukan pecah rumah dibacakan oleh
jurubahasa.
Berdasarkan
pertuduhan, dia didakwa pada 22 Mei lalu jam lebih kurang 7 petang
hingga 23 Mei lalu jam lebih kurang 8.55 pagi bertempat di kedai menjual
Haiwan Peliharaan dan Aquarium Ming Yu Two, Jalan Hiliran Masjid,
Chabang 3, telah melakukan pecah rumah dan curi dengan memasuki kedai
milik Lim Chew Siang, 41, dengan mencuri 50 ekor burung banji dalam
sangkar dan 45 ekor arnab dalam sangkar besi yang dianggarkan RM5,000.
Mohd
Khairul Hamimi didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 457 Kanun
Keseksaan yang memperuntukkan penjara boleh sampai 14 tahun dan denda
jika disabitkan kesalahan.
Bagaimanapun
tiada sebarang pengakuan direkodkan dan Abdul Hayyi kemudiannya
memerintahkan Mohd Khairul Hamimi dihantar ke Hospital Permai, Tampoi,
Johor Bahru untuk menjalani rawatan psikiatri selama sebulan dan
menetepkan 24 Jun depan sebagai tarikh sebutan semula kes.
Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa, Inspektor Miky Anak Dunstan Muda manakala tertuduh tidak diwakili peguam. - SH
No comments:
Post a Comment