PETALING JAYA - Dakwaan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri
Nazri Aziz bahawa Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bukan lagi
ahli Umno adalah pembohongan bertujuan mengelirukan rakyat. Setiausaha
Agung KEADILAN, Datuk Saifuddin Nasution Ismail berkata, selepas
pendedahan, Tan Sri Abdul Aziz Yusuf tidak pernah mengisytihar keluar
Umno, sebaliknya mendakwa telah terlucut keahlian kerana tidak membayar
yuran tahunan.
“Pengakuan itu sekadar mengesahkan Abdul Aziz memang
menjadi ahli Umno,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat KEADILAN,
di sini, hari ini.
Ahli Parlimen Machang itu berkata, berdasarkan pengalaman beliau menjadi Setiausaha Pemuda Umno, untuk mendaftar menjadi ahli Umno, seseorang itu hanya perlu membayar yuran keahlian.
Menurut Saifuddin, yuran keahlian berbeza dengan yuran tahunan kerana yuran keahlian hanya dibayar sekali seumur hidup.
“Sekiranya seseorang itu tidak membayar yuran tahunan, dia tidak boleh mengambil bahagian dalam sebarang mesyuarat agung dan tidak boleh mengambil bahagian dalam pemilihan.
“Walaupun tidak membayar yuran, seseorang itu tetap menjadi ahli Umno sehingga dia membuat keputusan untuk keluar parti,” katanya.
Beliau juga mendedahkan terdapat 11 Wan Ahmad Wan Omar berdaftar sebagai ahli Umno. Justeru, beliau mencabar 10 nama lagi untuk tampil menafikan ‘Wan Ahmad Wan Omar’ bukan Timbalan Pengerusi SPR.
“Sekiranya peniaga bernama Wan Ahmad Wan Omar mendakwa dia menganggotai Umno, itu tidak mengapa.
“Dalam senarai saya, masih ada 10 lagi nama yang sama. Jadi saya cabar kesemua nama ini tampil menafikan sehingga ‘Wan Ahmad Wan Omar’ mengaku dia adalah Timbalan Pengerusi SPR,” tegas beliau.
Tambah Saifuddin, beliau telah menghantar surat rasmi kepada Perdana
Menteri tengah hari tadi mendesak tribunal ditubuhkan bagi memecat Abdul
Aziz dan timbalannya. ~keadilandaily
No comments:
Post a Comment