May 30, 2012
KUALA
LUMPUR, 30 Mei – PKR melihat tindakan Bank Negara Malaysia (BNM)
memanggil Pengarah Strategik PKR Rafizi Ramli untuk memberi keterangan
berhubung pendedahan beliau ke atas pendedahan kes Pusat Fidlot Nasional
(NFC) adalah pelanggaran terhadap peruntukan Akta Bank dan Institusi
Kewangan (Bafia) 1989.
Naib Presiden PKR, N. Surendran (gambar) menegaskan,
arahan yang dikeluarkan oleh BNM itu adalah tidak sah kerana akta itu
bukan digunakan untuk melindungi seseorang yang melakukan perbuatan
jenayah.
“Arahan ini adalah tidak sah dan melanggar perlembagaan. Ini adalah
penyalahgunaan Bafia itu sendiri kerana akta itu bukan digunakan bagi
melindungi kegiatan jenayah.
“Rafizi telah melakukan pendedahan jenayah, dan suami menteri sendiri
telah didakwa di mahkamah atas kesalahan yang dilakukannya.
“Bagaimana seseorang yang membuat pendedahan penyelewengan NFC boleh
dipanggil untuk memberi keterangan atas kesalahan jenayah?” soalnya
lagi.
Turut mewakili Rafizi adalah Pengarah Guaman PKR, Latheefa Koya.
Rafizi boleh dijatuhkan hukuman penjara tiga tahun dan denda RM3 juta
jika di dapati bersalah di bawah peruntukan Akta Bafia tersebut.
“Ini adalah serius. Ia (Bafia) bukan untuk melindungi pesalah jenayah daripada menyalahgunakan dana awam.”
Rafizi yang ditemani Latheefa dan Surendran dilihat memasuki kawasan
perkarangan Bank Negara sekitar jam 3 petang untuk memberi keterangan.
Rafizi sebelum itu di Ibu Pejabat PKR di Petaling Jaya berkata,
beliau telah menerima secara peribadi notis tuntutan untuk memberikan
keterangan di bawah Seksyen 87(1)(a) Bafia 1989 hari ini.
Beliau turut menambah, pihaknya “menghormati arahan Bank Negara itu,
namun khuatir jika diberikan tekanan terus-terusan terhadapnya dan juga
Johari Mohamad, pemberi maklumat kepadanya berhubung skandal NFC.”
Malah, Rafizi berkata, beliau turut menyuarakan perasaan hairan
mengapa BNM tidak menyiasat Pengerusi NFCorp, Datuk Seri Salleh Ismail
dan keluarganya kerana terang-terangan telah melakukan pemindahan wang
rakyat secara tidak sah ke luar negara.
“Perkara ini diakui mereka, dan bukankah ini perlu disiasat oleh Bank
Negara di bawah Akta Pengubahan Wang Haram?” soal Rafizi ketika sidang
media di pejabat PKR sejam sebelum memberi keterangan dengan BNM.
The Malaysian Insider
No comments:
Post a Comment