5 Jun 2012
SHAH ALAM - Penasihat DAP, Lim Kit Siang bertanya sama ada bekas
Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad akan sekali lagi berhadapan
dengan amnesia jika dipanggil memberi keterangan kepada Suruhanjaya
Siasatan Diraja (RCI) bagi menangani masalah berkaitan pendatang asing
tanpa izin di Sabah.
"Adakah Mahathir akan mengalami serangan amnesia jika beliau muncul di
hadapan RCI Sabah?" kata beliau dalam satu kenyataan media hari ini.
Dengan nada menyindir, Kit Siang berkata, Dr Mahathir yang terkenal
dengan 'masalah memori' ketika inkuiri suruhanjaya siasatan video Datuk
V.K.K Lingam empat tahun lalu telah beberapa kali mengatakan bahawa
'saya tidak ingat.'
Kit Siang mengulas kenyataan Dr Mahathir yang dibuat semalam.
Ahli Parlimen itu berkata, tidak diragui bahawa individu yang mempunyai
maklumat yang terbanyak berkenaan isu pendatang asing, yang menjadi
pertikaian sejak kebelakangan ini ialah Dr Mahathir.
"Khususnya 'Projek Kad Pengenalan' yang diketahui ramai," katanya lagi.
"Adakah Mahathir boleh memberikan jaminan bahawa beliau tidak
berhadapan dengan satu lagi amnesia apabila disoal siasat oleh RCI di
Sabah sebagaimana berlaku ketika Suruhanjaya Diraja Rakaman Video Lingam
pada 2008?" katanya.
Dalam kenyataanna, Dr Mahathir juga berkata beliau tidak gentar dengan
dakwaan Kit Siang untuk mendedahkan apa yang dikatakan skandal kewangan
sepanjang 22 tahun pemerintahannya.
Dr Mahathir berkata, Kit Siang boleh berbuat apa sahaja sekarang juga
untuk membuktikan berlakunya skandal kewangan sepanjang pemerintahan
beliau.
No comments:
Post a Comment