KUALA
LUMPUR, 19 JUN: Pulau Pinang akan mengalami krisis ekonomi jika
Pelabuhan Pulau Pinang diswastakan kepada Tan Sri Syed Mokhtar
al-Bukhary yang mungkin melakukan langkah-langkah yang bakal menjejaskan
kepentingan negeri.
Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng berkata, Syed Mokhtar sebagai
pemilik Seaport Terminal (Johor) Sdn. Bhd. mungkin meminta harga akhir
Pelabuhan Pulau Pinang untuk dikurangkan daripada RM450 juta kepada
RM150 juta sebagai usaha untuk tidak melakukan kerja-kerja pendalaman
yang memakan belanja RM353 juta.
Katanya, Seaport Terminal Johor akan membawa tujuh unit kren dari
Super Port Panamax Pulau Pinang ke PTP (Pelabuhan Tanjung Pelepas)
manakala enam kren dermaga dari Pelabuhan Johor akan ditempatkan di
Pulau Pinang.
“Pada asasnya, Seaport Terminal dilihat cuba mengecilkan asset mereka
(asset stripping) dan kren yang lebih kecil pula tidak mampu untuk
mengendalikan 4000 TEU dan digunakan di atas kapal. Akhirnya Seaport
Terminal kemungkinan tidak akan mendalamkan pelabuhan Pulau Pinang,”
kata Guan Eng yang juga Setiausaha Agung DAP dalam satu sidang akhbar di
lobi Parlimen di sini hari ini.
Pengerusi DAP Pulau Pinang Chow Kon Yeow pula menjelaskan bahawa
kerja-kerja pendalaman Pelabuhan Pulau Pinang yang menelan belanja RM353
juta telah tergendala setelah Presiden MCA Datuk Seri Dr Chua Soi Lek
dilantik oleh kerajaan persekutuan Barisan Nasional untuk menjadi
Pengerusi Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang pada November 2010.
Katanya, bekas Presiden MCA Datuk Seri Ong Tee Keat telah mendedahkan
bahawa rancangan penswastaan pelabuhan tersebut oleh Syed Mokhtar turut
dipromosikan sendiri oleh Chua.
“Pada April 2010, Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin
juga telah mencadangkan kerja-kerja pendalaman dijalankan melalui pelan
perluasan dan penambahbaikan perniagaan PPSB 2008 hingga 2012 dengan
peruntukan sejumlah RM1.1 billion pelaburan di bawah Wilayah Ekonomi
Koridor Utara NCER.
“Walau bagaimana pun kerja-kerja pendalaman ini tidak dijalankan
seperti dalam rancangan,” ujar Chow yang juga Exco Kerajaan Negeri Pulau
Pinang.
Beliau juga mengalu-alukan pendirian Pengerusi BN Pulau Pinang Teng Chang Yeow yang kini mahu kerajaan persekutuan mengkaji semula cadangan menswastakan pelabuhan tersebut.
“Kami menyeru Teng Chang Yeow agar tidak berbelah bagi menyertai
kempen ‘Kembalikan Pelabuhan kepada Pulau Pinang’ yang dianjurkan oleh
DAP.
“Kami juga mahu Teng mendesak kerajaan persekutuan untuk menjalankan
kerja-kerja pendalaman Pelabuhan Pulau Pinang dengan segera, sebagaimana
yang telah dijanjikan oleh kerajaan persekutuan sebelum ini,” katanya.
Chow yang juga Ahli Parlimen Tanjung berkata, kuasa untuk
menghentikan penswastaan Pelabuhan Pulau Pinang terletak di tangan
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang juga Menteri Kewangan. –
Roketkini.com
No comments:
Post a Comment