Thursday, June 28, 2012

Kuasa pendakwaan perlu diberi kepada SPRM

Harakahdaily

Muhammad Faizal, 27 Jun 2012
KUALA LUMPUR: Jawatankuasa Khas Parlimen Mengenai Rasuah tetap mencadangkan agar kuasa pendakwaan bagi kes-kes rasuah diberikan terus kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Pengerusinya, Datuk Seri Mohd Radzi Sheikh Ahmad (gambar) berkata tindakan memberi kuasa itu akan dapat memberi kesan yang lebih baik kepada SPRM dalam memerangi rasuah di negara ini.

Beliau menjelaskan perkara tersebut pada sidang media di lobi Parlimen ketika menerima buku Laporan Tahunan SPRM 2011 daripada Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Abu Kassim Mohamed.

Sementera itu, Ahli Parlimen Balik Pulau, Yusmadi Yusoff yang baru dilantik bagi mewakili PKR menjelaskan beliau akan memastikan jawatankuasa itu dapat membantu SPRM melaksanakan tugas mereka dengan berkesan dalam memerangi isu rasuah.

"Saya menyambut baik lantikan saya serta cadangan jawatankuasa ini, laporan yang diberikan ini akan saya telitikan sepenuhnya dan ia merupakan usaha terbaik dilakukan oleh penjawat awam terutamanya SPRM.

"Saya sepatutnya berlaku adil terhadap laporan yang telah dilakukan oleh mereka," katanya.

Menurutnya lagi, beliau berharap apa-apa cadangan sesuai yang akan dikemukakan nanti akan digunakan sepenuhnya oleh ahli-ahli Parlimen pada sesi perbahasan nanti bagi memastikan SPRM ini beroperasi mengikut apa yang dicadangkan.

Sebelum ini, SPRM yang ditubuhkan sejak 2009 dikatakan mempunyai kuasa terhad apabila Ketua Pesuruhjaya dan pegawai-pegawai suruhanjaya itu hanya diberi kuasa untuk menyiasat di bawah Seksyen 7 Akta SPRM 2009.

Berdasarkan Perkara 145 Perlembagaan Persekutuan, kuasa untuk memulakan pendakwaan kekal di tangan Peguam Negara.

Sebelum ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz dilaporkan berkata kerajaan tidak berhasrat menyerahkan kuasa mendakwa kepada SPRM kerana terdapat keperluan untuk memeriksa dan mengimbangi "pemikiran bebas" di antara penyiasatan dengan pendakwaan.

No comments:

Post a Comment