26 Jun 2012
Seorang peserta perhimpunan, dari Kumpulan NGO Royalti tercedera ketika kekecohan di hadapan Kompleks Darul Naim, Kota Bharu pagi tadi.
KOTA BHARU - Seramai lima aktivis Gabungan Profesional Menuntut
Royalti, Pendaratan Minyak Dan Gas ke Kelantan (Royalti) cedera didakwa
dipukul ketika berhimpun di hadapan perkarangan Kompleks Kota Darul Naim
di sini hari ini.
Salah seorang mangsa yang juga Naib Presiden Royalti, Abu Samah Hassan
berkata, kejadian itu berlaku ketika pihaknya sedang berunding dengan
anggota polis bertugas berhubung urusan pembahagian kawasan himpunan.
Katanya, sewaktu perundingan itu berlangsung, keadaan agak tegang
dengan bunyi bising serta provokasi daripada penganjur Himpunan Sedar
sehingga menyebabkan dia mengambil keputusan berbincang dengan dengan
pihak satu lagi.
“Belum sempat habis berunding dengan polis berhubung kawasan himpunan
diperluaskan memandangkan peserta Pra-Himpunan Royalti ini semakin
ramai, saya pergi berjumpa ketua pihak berkenaan untuk menasihatkan
menenangkan ahli-ahlinya supaya tidak menimbulkan sebarang provokasi.
“Tetapi malangnya mereka sukar untuk dibawa berunding hingga menjadikan
saya ambil keputusan untuk beredar. Sewaktu saya hendak beredar
tiba-tiba saya dipukul curi secara padu dari bahagian belakang, pada
bahu, leher dan kepala,” katanya selepas membuat laporan polis di Balai
Polis Pengkalan Chepa, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD), Kota Bharu.
‘Pra-Himpunan Royalti: Menjunjung Titah Tuanku Sultan Muhammad V’
dianjurkan untuk menyerahkan memorandum tuntutan beserta plak Royalti
yang telah ditandatangani Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V dan Menteri
Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat kepada pihak Kerajaan
Negeri ini.
Sementara itu, seorang lagi mangsa, Khairul Nizam Abd Ghani, 31,
berkata dia terpaksa menerima tiga jahitan pada bahagian kepala setelah
dipukul kira-kira 10 orang dari pihak yang sama.
“Saya tidak tahu dipukul dengan objek apa pada bahagian kepala ini
sebab benda ini berlaku dengan cepat tetapi merujuk pemeriksaan doktor
dipercayai luka disebabkan benda tajam,”katanya.
No comments:
Post a Comment