sinar harian
16 Jun 2012
Khalid Ibrahim
SHAH ALAM - Kerajaan Negeri akan melakukan siasatan audit terhadap
dakwaan salah guna baucar Jom Shopping oleh Ahli Jawatankuasa PKR Kapar.
Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, walaupun jumlahnya
sedikit tetapi siasatan tetap dijalankan kerana Kerajaan Negeri
mengutamakan ketelusan dan kebertanggungjawaban.
Menurutnya, mekanisme penyelarasan baucar Jom Shopping adalah
sistematik dan telus bagi memastikan penipuan atau salah guna dapat
dikurangkan ke tahap minimum.
“Peratusannya amat sedikit dan boleh dibanteras dengan cepat. Kita
telah peruntuk- kan RM10 juta untuk Jom Shopping dan RM8 juta telah
dibelanja.
“Dari jumlah tersebut hanya sekitar RM6,000 sahaja yang diragui
perbelanjaannya,” katanya pada sidang media selepas menghadiri program
Aduan Rakyat sempena Jelajah Terima Kasih Rakyat daerah Klang, semalam.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Setiausaha
Agung PKR, Saifuddin Nasution bahawa parti akan hantar surat tunjuk
sebab kepada ahli parti yang dikatakan terlibat dengan salah guna baucar
Jom Shopping.
Menurutnya, sistem pemberian baucar sedia ada, mampu memperincikan
setiap maklumat penerima dan lokasi mereka dan langkah ini dibuat bagi
memastikan setiap wang yang dibelanjakan sampai kepada rakyat.
Program Jom Shopping diperkenal tahun lalu dengan memberikan baucar
percuma RM100 kepada warga emas untuk membeli barang keperluan.
Menerusi program ini, wakil rakyat atau penyelaras Dewan Undangan
Negeri (Dun) akan membawa warga emas yang berdaftar di bawah Skim Mesra
Warga Emas, membeli-belah di pasar raya terpilih.
No comments:
Post a Comment