| Harakahdaily, | 12 Jun 2012 |
KUALA LUMPUR: PAS
meminta Menteri Kewangan menyatakan status pemberian royalti petroleum
kepada Negeri Terengganu selepas penarikan balik saman Kerajaan Negeri
Terengganu terhadap Petronas dan Kerajaan Persekutuan baru-baru ini.
“Adakah pemberian tersebut atas nama royalti petroleum sepertimana
sebelum tahun 2000 atau Wang Ehsan,” demikian pertanyaan bagi jawab
lisan Presiden PAS yang juga Ahli Parlimen Marang, Datuk Seri Tuan Guru
Abdul Hadi Awang pada persidangan Dewan Rakyat, pagi ini.
Berikut ialah soalan-soalan bagi jawab lisan daripada ahli-ahli
parlimen PAS di Dewan Rakyat hari ini yang bermula jam 10.00 pagi.
Dr. Che Rosli Che Mat [ Hulu Langat ] minta MENTERI SAINS, TEKNOLOGI
DAN INOVASI menyatakan statistik kecenderungan remaja khasnya dan rakyat
Malaysia amnya yang mungkin boleh diukur daripada lawatan mereka ke
Pusat Sains Negara, Pusat Remote Sensing Negara, Agensi Angkasa Negara
dan Agensi Nuklear Malaysia atau program anjuran Kementerian sempena
promosi Tahun
Sains, Gerakan dan Inovasi.
Nasharudin Mat Isa [ Bachok ] minta PERDANA MENTERI menyatakan apakah
seseorang pegawai awam berpangkat JUSA "C" atau Gred Khas "C" ke atas
dibiarkan "terapung" (float) di perjawatan "JPA Pool" kerana masih tidak
disahkan penempatannnya di mana-mana jabatan yang bersesuaian.
Dr. Mohd Hatta Md Ramli [ Kuala Krai ] minta PERDANA MENTERI
menyatakan berapakah jumlah pengundi pos yang berdaftar setakat bulan
Jun 2012 di seluruh negara. Bagaimanakah mekanisme yang dibuat SPR atau
Kerajaan untuk membuat pengasingan antara anggota tentera dan anggota
polis yang telah berdaftar sebagai pengundi pos terdahulu dan sekarang
perlu mengundi secara
pengundian awal.
Mohd Firdaus Jaafar [ Jerai ] minta PERDANA MENTERI menyatakan jumlah
permohonan dan jumlah biasiswa yang ditawarkan di bawah Program Ijazah
Luar Negara (PILN) bagi tempoh sepuluh tahun terakhir (2002-2011) dan
apakah Kerajaan berhasrat menambah lagi jumlah peruntukan tersebut
supaya lebih ramai yang boleh melanjutkan pelajaran ke luar negara.
Salahuddin Ayub [ Kubang Kerian ] minta MENTERI LUAR NEGERI
menyatakan sejauh manakah penyelesaian berkaitan caj pembangunan yang
dikenakan oleh Kerajaan Singapura bagi kawasan tanah yang diterima oleh
Perdana Menteri di Marina South dan di Ophir/Rochor berikutan pertukaran
tanah Keretapi Tanah
Melayu (KTM) di Tanjong Pagar, Kranji dan Woodlands, dan tiga lagi di Bukit Timah.
Dr. Siti Mariah Mahmud [ Kota Raja ] minta PERDANA MENTERI menyatakan
sumber kewangan untuk membiayai bayaran 'durian runtuh' sebanyak RM1.68
bilion kepada peneroka Felda. Apakah asas atau formula yang digunakan
untuk menentukan jumlah RM15,000 kepada peneroka, isteri dan anak
peneroka. Bagaimanakah dan bilakah pembayaran tersebut dapat
diselesaikan.
Datuk Mahfuz Omar [ Pokok Sena ] minta PERDANA MENTERI menyatakan
adakah SPAD telah mengeluarkan kebenaran atau permit bagi van-van
pelancong asing daripada Thailand untuk beroperasi mengangkut pelancong
di dalam kawasan Malaysia.
Khalid Abdul Samad [ Shah Alam ] minta MENTERI PERTANIAN DAN INDUSTRI
ASAS TANI menyatakan apakah tindakan Kementerian untuk mengatasi
masalah kos import daging setelah NFC gagal.
Datuk Seri Abdul Hadi Awang [ Marang ] minta MENTERI KEWANGAN
menyatakan status pemberian royalti petroleum kepada Negeri Terengganu
selepas penarikan balik saman Kerajaan Negeri Terengganu terhadap
PETRONAS dan Kerajaan Persekutuan baru-baru ini, adakah pemberian
tersebut atas nama royalti petroleum sepertimana sebelum tahun 2000 atau
Wang Ehsan.
Dato' Seri Mohammad Nizar Jamaluddin [ Bukit Gantang ] minta MENTERI
PERTAHANAN menyatakan sepanjang tempoh pelaksanaan Program Latihan
Khidmat Negara (PLKN) berapakah jumlah pelatih yang meninggal dunia dan
mengalami kecacatan kekal semasa dalam tempoh latihan mereka. Berapakah
pula jumlah pampasan yang telah pihak Kerajaan keluarkan.
Dr. Mujahid Yusof Rawa [ Parit Buntar ] minta MENTERI KEMAJUAN LUAR
BANDAR DAN WILAYAH menyatakan berapakah penduduk luar bandar yang masih
tidak mendapat kemudahan infrastruktur asas berbanding dengan
keseluruhan penduduk luar bandar di Malaysia.
DatukTaib Azamudden Md Taib [ Baling ] minta MENTERI DALAM NEGERI
menyatakan statistik kes penyeludupan pendatang asing bagi tahun 2010
dan 2011. Kenapakah statistik meningkat begitu ketara daripada tahun
2010 ke 2011 dan apakah langkah-langkah Kerajaan untuk mengatasinya.
Mohd. Abdul Wahid Endut [ Kuala Terengganu ] minta PERDANA MENTERI
menyatakan senarai semua ajaran sesat yang wujud di negara ini khususnya
di Terengganu serta jumlah siasatan dan pendakwaan yang telah
dilakukan.
Datuk Kamarudin Jaffar [ Tumpat ] minta MENTERI KEWANGAN menyatakan
perkembangan terkini cadangan penswastaan Keretapi Tanah Melayu (KTM).
Datuk Wan Abd Rahim Wan Abdullah [ Kota Bharu ] minta PERDANA MENTERI
menyatakan adakah Akta Pilihanraya 1958 dan Akta Kesalahan Pilihanraya
1954 akan dipinda sebelum PRU 13 nanti.
Che Uda Che Nik [ Sik ] minta MENTERI PELAJARAN menyatakan kemampuan
server Kementerian bagi ujian PSELT amat perlahan dan kadangkala berlaku
“server breakdown” terlalu lama, guru terpaksa mengakses laman
web ini. Tempoh yang diberi juga terhad (7 hingga 10 minit sekali)
menyebabkan ramai guru gagal melaksanakan program ini. Apakah komen
Menteri.
No comments:
Post a Comment