(Oleh Aedi Asri)
KUALA LUMPUR 4 Jun: Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) tidak
akan dapat menjadi pemantau yang berkesan untuk Pilihan Raya Umum ke 13
(PRU 13), kata Naib Presiden KEADILAN, Fuziah Salleh.
Katanya,
ini disebabkan Suhakam tidak mempunyai sumber dan tenaga kerja yang
mencukupi untuk menjalankan pemantauan menyeluruh di setiap kawasan
pilihan raya.
“Kita alu-alukan kesediaan Suhakam (menjadi pemantau), tapi ia belum
memadai dan kita masih perlukan pemantau antarabangsa dan juga dari NGO.
“Apatah lagi PRU akan datang bakal menjadi sangat kotor, selepas Umno
BN mengatakan akan buat apa sahaja untuk pertahan Putrajaya dan
Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, PRU ini
menentukan hidup mati BN,” katanya dihubungi Keadilan Daily.
Menyatakan rasa hormat kepada Suhakam, beliau yang juga Ahli Parlimen
Kuantan bagaimanapun mengkritik badan itu yang belum membuktikan
keberkesanannya dan tidak lantang menyuarakan isu-isu penting, termasuk
pilihan raya bebas.
Sinar Harian hari ini melaporkan, Suhakam akan memantau PRU 13 bagi memastikan perjalanannya bagi menghormati hak asasi semua pihak.
Namun, pemantauan akan dibuat secara umum berikutan masalah kemudahan
dan sumber tenaga melainkan terdapat aduan dan kes yang memerlukan
tindakan dibuat.
Suhakam sebelum ini menjadi pemantau untuk beberapa pilihan raya
kecil, termasuk untuk Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas dua tahun lalu.
Dalam pada itu, Fuziah turut berharap langkah Suhakam itu tidak
mengalihkan isu lapan tuntutan Gabungan Pilihanraya Bersih dan Adil
(Bersih) dan pelaksanaannya pada PRU akan datang.
“Tuntutan Bersih, terutamanya pembersihan daftar pengundi dan capaian
media yang adil sangat penting dalam memastikan ‘padang yang sama rata’
dalam PRU akan datang,” kata Fuziah lagi.
Bersih menuntut lapan perkara untuk dilaksanakan pada PRU 13,
termasuk penggunaan dakwat kekal, reformasi undi pos, tempoh kempen
minima 21 hari dan pengukuhan institusi awam.
Short URL: http://www.keadilandaily.com/
No comments:
Post a Comment