(Oleh: Sidiqin Omar)
KUALA LUMPUR 3 Jun: Senator Syed Shahir Syed Mohamud bimbang aset
tunai Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) lesap melalui pembelian
stesen kuasa Battersea, yang menjadi ikon hartanah di London berharga
RM1.8 bilion.
Agensi Bloomberg dan akhbar Financial Times memetik laporan firma
kaji selidik hartanah, CoStar, bahawa KWSP berjaya mengatasi bidaan
dibuat pemilik kelab bola sepak Chelsea, Roman Abramovich untuk
mengambilalih stesen berkenaan.
“KWSP perlu berhati-hati dalam membuat pelaburan. Keadaan ekonomi di
Eropah kini tidak menentu. Greece dan Sepanyol adalah contoh (negara
hadapi krisis ekonomi).
“Kita bimbang modal pelaburan yang ditanam tidak membawa keuntungan, malah yang berlaku sebaliknya,” katanya pada Keadilandaily.
Katanya, beliau bukan memperlekeh usaha KWSP mencari pelaburan,
tetapi adalah lebih baik wang sebanyak itu dilabur di negara seperti
Korea atau membantu Industri Kecil Dan Sederhana (IKS) tempatan.
“Kita bimbang dengan spekulasi pasaran kerana ada risiko. Walaupun
atas nama pelaburan perlu ada pulangan yang munasabah,” tegasnya yang
juga mantan Presiden Kongres Kesatuan Sekerja (MTUC).
Spekulasi perniagaan mengatakan KWSP berkerjasama dengan SP Setia,
salah satu pemaju hartanah terbesar Malaysia, dan agensi pelaburan
hartanah bagi Deutsche Bank, RREEF.
CoStar Group berkata, KWSP telah menetapkan jaminan 100 peratus
kepada ekuiti tawaran pembelian tunai bernilai RM1.8 bilion (375 juta
pound).
CoStar menambah, SP Setia dijangka menjadi pengurus pembangunan dan mendapat nasihat daripada RREEF.
Manakala terma pembelian Battersea telah dipersetujui dan urus niaga dijangka selesai dalam tempoh tiga bulan.
SP Setia meletakkan dua bidaan bernilai RM1.2 bilion (262 juta pound)
dan RM1.5 bilion (324 juta pound) bagi tanah itu tahun lepas tetapi
ditolak.
Bagaimanapun, KWSP kelmarin menafikan laporan berita di Britain
bahawa ia sudah membuat bidaan bernilai RM1.8 bilion untuk membeli
stesen kuasa Battersea itu.
Short URL: http://www.keadilandaily.com
No comments:
Post a Comment