ORANG ramai dan pasukan
penyelamat melihat mayat-mayat mangsa yang rentung berikutan sebuah lori
tangki yang membawa minyak terbakar dan meletup.
PELABUHAN HARCOURT, Nigeria: Lebih
100 orang yang cuba mengambil minyak petrol daripada sebuah lori tangki
yang terbalik, maut apabila kenderaan itu disambar api.
Wanita dan
kanak-kanak merupakan antara mangsa yang rentung. Sementara
berpuluh-puluh yang lain mengalami kecederaan serius. Sebelum itu,
pasukan tentera memberi amaran bahawa kebakaran boleh berlaku bila-bila
masa sahaja.
Lebih 85 orang
mangsa kemudian dikebumikan dalam satu kubur.
"Lori tangki itu
terbalik kerana cuba mengelak tiga buah kenderaan dari arah
bertentangan," jelas Ketua Suruhanjaya Keselamatan Jalan Raya
Persekutuan, Kayode Olagunju.
Tidak lama
kemudian, beratus-ratus penduduk tempatan di Ahoada memenuhi lokasi
kejadian untuk mencedok minyak yang tumpah. Kebanyakan mangsa yang mati
ialah pemandu teksi motor, dikenali sebagai Okada.
Beberapa buah
jengkaut dibawa untuk menggali kubur besar untuk mengebumikan mangsa
yang mayat mereka rosak teruk dan sukar untuk dikenal pasti atau
diangkat ke tempat lain. Menilai kepada tahap kecederaan mangsa yang
dirawat di hospital, jumlah kematian mungkin akan terus meningkat.
Kebocoran minyak
dan kemalangan lori tangki sering berlaku di negara Afrika yang kaya
dengan hasil minyak itu. Pada Oktober 1998, lebih 1,000 orang maut di
Jesse, negeri Delta apabila sebuah paip saluran minyak meletup ketika
orang ramai sibuk hendak mencuri minyak
KERENGGA
-AFP-
No comments:
Post a Comment