Thursday, July 5, 2012

Emel 1Malaysia: Mengapa beri kepada Tricubes?

Harakahdaily

Salmiyah Harun, 05 Jul 2012
KUALA LUMPUR: Tricubes Bhd yang mendapat projek emel 1Malaysia daripada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada April 2011 ternyata bersandarkan kepada kronisme sebagaimana didakwa sebelum ini.

Malah di awal pemberian projek yang bernilai RM 50 juta kepada syarikat terbabit sudah mendapat kritikan hebat kerana dikatakan mempunyai masalah kewangan.

Mengulas perkara itu, Ahli Parlimen Tumpat Datuk Kamarudin Jaffar (gambar) meminta kerajaan memandang berat akan reaksi yang jelas diberikan sebelum ini.

"Mengapa perlu memberi projek kepada syarikat yang terang-terangan bermasalah, malah di awal lagi perkara ini sudah dikritik akan ketidakupayaan syarikat berkenaan," katanya kepada Harakahdaily ketika dihubungi.

Malah Ahli Parlimen Kuala Selangor Dr Dzulkefly Ahmad juga menegaskan syarikat tersebut tergolong dalam syarikat GN3 atau dengan kata lain mempunyai permasalahan hutang yang perlu distrukturkan pembayarannya.

Sebelum ini pernah dilaporkan, Tricubes adalah syarikat yang sedang menghadapi masalah kewangan yang teruk dan telah diberikan amaran akan dikeluarkan dari penyenaraian Bursa Malaysia jika tidak menyelesaikan masalahnya.

Hari ini, nampaknya dakwaan itu ada benar, apabila Bursa menolak cadangan Tricubes dengan menyatakan yang sekuriti syarikat akan digantung mulai 11 Julai setelah syarikat tidak dapat menunjukkan ia boleh kembali menguntungkan dan juga daya maju segmen perniagaan baru.

Ekoran itu, Tricubes Bhd akan mengemukakan rayuan terhadap keputusan Bursa Malaysia yang menolak cadangan rancangan penstrukturan semulanya secepat mungkin.

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia semalam, Tricubes berkata penolakan oleh Bursa hanya akan menjejaskan status penyenaraian bukan mempengaruhi kemampuan syarikat untuk menjalankan perniagaannya seperti biasa.

Tricubes Bhd adalah syarikat dilantik oleh kerajaan untuk melaksanakan projek emel 1Malaysia pada April 2011.   

Pelaburan bagi Projek Emel 1Malaysia itu adalah bagi menyediakan akaun email kepada semua warga Malaysia berusia 18 tahun ke atas untuk urusan rasmi dengan kerajaan.

No comments:

Post a Comment