(Pengarah Strategi KEADILAN: Rafizi Ramli)
Saya mengucapkan terima kasih kepada Kerajaan Negeri Selangor di
bawah Tan Sri Khalid Ibrahim yang menghuraikan konsep usaha-usaha
pentadbiran beliau mengutip hutang dari Talam Corporation kepada Dewan
Undangan Negeri Selangor yang bersidang minggu ini.
KEADILAN menghormati pemisahan di antara pentadbiran kerajaan negeri
dan pendirian parti. Oleh sebab itu, tidak ada pimpinan parti yang
mendahului kenyataan Tan Sri Khalid Ibrahim supaya segala proses
mengikut prosedur dan undang-undang boleh dilaksanakan oleh kerajaan
negeri sebelum jawapan politik dilontarkan kepada MCA/Barisan Nasional.
Biro Politik KEADILAN yang bermesyuarat Rabu lalu memutuskan supaya
pimpinan parti boleh mula mematahkan fitnah MCA di medan politik,
setelah berpuas hati bahawa semua tindakan pentadbiran di peringkat
kerajaan negeri telah pun dilaksanakan dengan baiknya.
Oleh itu, saya haruslah bermula dengan mengecam sekeras-kerasnya
tindakan Datuk Chua Tee Yong yang cuba memutar belitkan fakta untuk
memfitnah Kerajaan Selangor tetapi tidak sedikit pun memohon maaf kepada
rakyat Selangor bagi pihak MCA atas penyelewengan dan rasuah yang
dilakukan bersama dengan Umno sehinggakan ribuan ekar tanah dan ratusan
juta wang rakyat hangus begitu sahaja.
Talam Corporation adalah anak emas Umno/MCA di bawah pentadbiran
mereka dahulu. Selain diberikan tanah, Talam Corporation juga mendapat
pelbagai projek besar yang dikendalikan oleh Kerajaan Selangor pada
ketika itu.
Maka tidak hairanlah, sekurang-kurangnya 4,259 ekar tanah telah
dipindahmilik kepada Talam Corporation di bawah pentadbiran Umno/MCA di
Selangor. Lebih memualkan, pentadbiran Umno/MCA juga menutup mata kepada
kegagalan Talam Corporation membayar cukai tanah dan premium kepada
Kerajaan Negeri, termasuk bagi tanah-tanah seperti berikut:
1. RM11.26 juta tunggakan cukai tanah bagi tanah seluas 1,276 ekar di Bukit Beruntung
2. RM526,421 tunggakan cukai tanah bagi tanah seluas 25.94 ekar di Bukit Beruntung
Tidak cukup dengan kealpaan kerajaan Umno/MCA mengutip cukai tanah
dari kroni mereka, rakan-rakan karib Datuk Chua Tee Yong di dalam MCA
juga tidak segan silu membenarkan tanah-tanah ini dicagarkan pula oleh
Talam Corporation kepada bank, sedangkan mengikut undang-undang selagi
cukai tanah belum dibayar hakmilik tidak boleh dipindahkan.
Oleh sebab kealpaan dan penyelewengan MCA jugalah, sebahagian besar
tanah seluas lebih 4,000 ekar ini digadaikan oleh Talam Corporation
kepada bank. Hutang bank tertunggak Talam Corporation kepada bank,
ketika Kerajaan Selangor di bawah Tan Sri Khalid Ibrahim mengambil
keputusan nekad merampas tanah-tanah ini, sudah pun mencecah RM286 juta.
Pada masa yang sama, Talam Corporation juga berhutang dengan
anak-anak syarikat Kerajaan Selangor apabila pelbagai projek usahasama
dan tender yang dimenanginya gagal disiapkan. Sekali lagi, rakan-rakan
karib Datuk Chua Tee Yong langsung tidak menghiraukan rekod buruk Talam
Corporation apabila tender-tender dan perjanjian usahasama ini
dianugerahkan kepada Talam Corporation.
Akibat dari pelbagai projek usahasama dan tender yang gagal, Talam
Corporation berhutang sejumlah RM392 juta kepada anak-anak syarikat
Kerajaan Selangor.
Penyelewengan yang ditinggalkan oleh kerajaan Umno/MCA ini akhirnya terpaksa diselesaikan oleh pentadbiran Pakatan Rakyat.
Ini bermula dengan merampas kembali tanah-tanah dan harta yang masih
dimiliki Talam Corporation, termasuklah tanah-tanah yang telah
digadaikan kepada bank-bank. Jumlah tanah-tanah dan harta yang dirampas
dari Talam Corporation oleh pentadbiran Pakatan Rakyat mencecah RM684
juta.
Pun begitu, tanggungjawab kepada pemiutang lain dan bank juga perlu
diselesaikan supaya tanah-tanah ini bebas dari gadaian dan boleh
dibangunkan oleh anak-anak syarikat Kerajaan Selangor di masa hadapan.
Dari jumlah RM684 juta harta yang dirampas tadi, sejumlah RM292 juta
digunakan untuk melangsaikan hutang-hutang bank dan pemiutang lain untuk
membebaskan tanah-tanah tersebut dari gadaian.
Hasil bersih inilah; yang berjumlah RM392 juta adalah bersamaan
dengan hutang-hutang Talam Corporation, yang akhirnya berjaya dikutip
oleh pentadbiran Pakatan Rakyat.
Kiraan ini adalah cukup mudah, tetapi dirumitkan oleh Datuk Chua Tee Yong untuk mengaburi mata rakyat.
Saya memberi amaran supaya beliau cepat-cepat menghentikan fitnah ini
sebelum lebih banyak fail-fail penglibatan pimpinan MCA dalam kesemua
usahasama dan projek yang gagal ini didedahkan kepada rakyat.
Short URL: http://www.keadilandaily.com
No comments:
Post a Comment