sinar harian
10 Julai 2012
10 Julai 2012
KUALA LUMPUR - Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) diarah mengesan
kumpulan yang dianggotai seorang lelaki dan seorang wanita yang mengamuk
di luar perkarangan Kompleks B, Jabatan Perdana Menteri di Putrajaya
semalam.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom
berkata Jakim juga diminta meneliti sama ada kumpulan itu berkaitan
dengan agama atau ajaran lain.
"Saya akan periksa dengan Jakim. Adakah kumpulan itu bersifat
keagamaan?," katanya kepada pemberita selepas menghadiri perasmian
sambutan 20 Tahun Penubuhan Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) di
Kompleks IKIM di sini, hari ini.
Beliau mengulas kejadian amuk oleh Khalil Afandi Hamid, 47, yang
mendakwa dirinya Imam Mahadi, dan seorang wanita berusia 28 tahun.
"Jakim akan mengambil perhatian perkara ini. Ini bukan hanya soal Imam Mahadi sahaja, tapi ini soal keselamatan JPM," katanya.
Jamil Khir juga berkata semua jabatan kerajaan perlu meningkatkan tahap
keselamatan masing-masing supaya keselamatan pekerja dan pelawat
terjamin.
Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Mohmad Salleh berkata polis akan
menyiasat sama ada dua suspek itu menganggotai kumpulan ajaran sesat.
Khalil Afandi meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Hospital
Putrajaya selepas terkena tembakan di tangan dan bahagian ari-ari
manakala wanita itu terkena tembakan di paha kanan dan dirawat di
hospital sama.
Sementara itu, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Ahmad
Maslan berkata, kegiatan ajaran sesat perlu dibanteras segera untuk
mengelaknya daripada menular dalam masyarakat.
Sambil menyifatkannya sebagai berbahaya, beliau menyarankan Suruhanjaya
Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) supaya sentiasa memantau
laman sesawang tertentu untuk mengenalpasti ajaran yang pelik dan
songsang.
"Kita berharap pihak-pihak tertentu dapat membanteras gejala ini selain
meneliti ajaran yang diikuti lelaki itu. Gejala seumpama ini berbahaya.
"Selain itu, keselamatan pemimpin kita yang suka turun padang juga perlu sentiasa dipastikan," katanya. - Bernam
No comments:
Post a Comment