KUALA LUMPUR - Mahkamah Tinggi memutuskan kerajaan negeri Terengganu
tidak mempunyai hak di sisi undang-undang untuk meneruskan saman
terhadap Anggota Dewan Undangan Negeri Batu Buruk Dr Syed Azman Syed
Ahmad Nawawi dari parti PAS dan tiga lagi berhubung sebuah artikel
berkaitan pembelian uniform sekolah di negeri itu. Hakim Datin Yeoh Wee
Siam membuat keputusan itu dalam kamar selepas membenarkan bantahan awal
Syed Azman dan tiga defendan lain bagi membatalkan kerajaan negeri
Terengganu sebagai pihak dalam saman tersebut.
Peguam Mohamed Hanipa Maidin memaklumkan media hakim itu memutuskan
bahawa kerajaan negeri Terengganu tidak mempunyai locus standi bagi
meneruskan saman tersebut. Pada 15 Dis tahun lepas, kerajaan negeri
Terengganu dan Menteri Besarnya, Datuk Seri Ahmad Said, serta dua
peniaga iaitu Mek Hawa Abdul Rahman dan Hamie Azreen Ami Nordin, yang
mendapat kontrak membekal uniform sekolah serta alat tulis, memfailkan
saman terhadap keempat-empat defendan.
Selain Syed Azman, mereka menamakan pemilik permit Harakah iaitu Datuk
Mustafa Ali serta ketua pengarang akhbar itu Ahmad Lutfi Othman dan
pencetaknya, Angkatan Edaran Enterprise Sdn Bhd, sebagai defendan.
Keputusan itu menyaksikan tiga lagi plaintif kekal dalam saman
tersebut. Bagaimanapun, Mohamed Hanipa berkata Hakim Yeoh mengarahkan
kedua-dua pihak memfailkan hujahan pada 30 Julai berhubung isu sama ada
defendan kedua memfailkan saman itu dalam kapasiti peribadinya, atau
sebagai Menteri Besar.
Beliau berkata hakim itu akan memutuskan isu tersebut pada 28 Ogos
ini. Dalam penyataan tuntutan, plaintif mendakwa Syed Azman memfitnah
mereka menerusi artikel bertajuk "Seleweng RM30 juta Bantuan Sekolah?'
yang disiarkan Harakah dalam isu bertarikh 11 hingga 13 Nov 2011.
reka juga mendakwa artikel itu membawa maksud kerajaan negeri dan
Menteri Besar tidak telus dalam pemberian kontrak di bawah program
bantuan sekolah di Terengganu.Sehubungan itu, mereka menuntut ganti rugi
am, ganti rugi khas, ganti rugi teruk serta ganti rugi teladan selain
kos dan perintah injunksi bagi menghalang defendan daripada terus
menyiarkan fitnah tersebut. - Bernama

No comments:
Post a Comment