sinar harian
6 Julai 2012
PEKAN - Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata pihak
pembangkang di negara ini dilihat suka mengajar perkara-perkara yang
tidak baik kepada rakyat termasuk perkara yang bertentangan dengan
agama.
Beliau berkata tiga perkara tidak baik yang begitu nyata diajarkan
kepada rakyat ialah "hutang tak perlu dibayar", "budi tak perlu
dikenang" dan "janji tak perlu ditepati".
"Janji banyak dibuat (pembangkang) semasa pilihan raya (umum) lepas,
tapi akhirnya (selepas mereka berkuasa di beberapa negeri) mereka tidak
tepati pun," katanya ketika berucap pada majlis penyampaian sumbangan
pakaian Hari Raya kepada 45 Badan Bukan Kerajaan (NGO) serta penyerahan
sumbangan 52 enjin bot untuk nelayan bagi kawasan Parlimen Pekan, di
sini, hari ini.
Perdana Menteri berkata kerajaan pimpinan Barisan Nasional (BN) pula
bukan sahaja menepati semua janji yang dibuat, malah "perkara-perkara"
yang tidak dijanjikan sebelum ini seperti pelbagai jenis bantuan untuk
rakyat, turut diberikan.
Berkenaan hutang yang tidak perlu dibayar, Najib berkata dalam ajaran
Islam, setiap hutang wajib dibayar dan sekiranya sseorang itu sudah
meninggal dunia, hutang berkenaan masih perlu dibayar oleh warisnya.
Perihal hutang itu yang dimaksudkan Perdana Menteri dipercayai merujuk
kepada cadangan pembangkang yang mahu menghapuskan pinjaman Perbadanan
Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).
Perdana Menteri berkata pihak pembangkang juga kini meracuni pemikiran
rakyat agar tidak menghargai apa yang dilakukan oleh kerajaan.
"Ajaran mereka ialah budi tak perlu dikenang. Berkenaan dengan bantuan
untuk rakyat, saya tak tahulah kalau ada negara lain sehingga bantuan
kelambu pun diberikan, bantuan gigi palsu, cermin mata, kalau jalan tar,
bukan setakat kerajaan buat jalan tapi buat jalan sampai ke tangga
rumah," katanya.
Najib berkata apa yang dikecapi sekarang bukanlah sesuatu yang mudah
sekiranya kepimpinan negara tidak mempunyai kewibawaan dan wawasan.
"Kalau kita tidak punyai kewibawaan, wawasan dan buat perancangan dan
mampu melaksanakannya, ianya (keadaan rakyat dan negara) akan digantikan
dengan satu igauan buruk," katanya.
Perdana Menteri berkata rakyat perlu bersyukur dengan nikmat keamanan
dan perpaduan yang dikecapi.
"Janganlah kita silap membuat perhitungan. Jika kita silap, nikmat itu
akan terlepas dari kita, sudah banyak kita lihat apa yang telah terjadi
kepada rakyat di negara-negara lain akibat berlakunya ketidakstabilan
politik," katanya.
Turut hadir pada majlis itu isteri perdana menteri Datin Seri Rosmah
Mansor. - Bernama
Dari tiga yg disebu dua adalah amalan UMNO. "hutang tak perlu dibayar" dan "janji tak perlu ditepati".
ReplyDeleteDi kalangan orag UMNO frasa " hutang tak perlu bayar" dah menjadi amalan. Hutang MARA tak payah bayar...hutang PTPTN tak payah bayar... dan banyak lagi.
"Janji tak perlu ditepati" memang amalan UMNO/BN. Buat janji lima tahun sekali. Dah berpuluh tahun masih tak tepati.