(Oleh Sidiqin Omar)
KLANG 6 Julai: Naib Presiden KEADILAN, N Surendran meminta Perdana
Menteri, Datuk Seri Najib Razak campur tangan berhubung masalah
pemilikan kad pengenalan oleh masyarakat India berikutan kempen Mydaftar
yang diselenggara MIC gagal.
Surendran
berkata, karenah birokrasi dan proses Jabatan Pendaftaran Negara (JPN)
yang lembab punca kira-kira 300,000 rakyat Malaysia keturunan India
dinafikan hak sebagai warganegara.
“Ini polisi yang sengaja menafikan hak warganegara berturunan India.
Mereka kini seperti tanpa negara (stateless). Kita minta supaya Najib
selesaikan, kerana nampaknya JPN ada masalah,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menemani lebih 40 warga keturunan
India bertemu Pengarah JPN Selangor, Mohd Azmin Hassan di pejabat agensi
itu di sini, hari ini.
Kebanyakan mereka hadir bagi diri sendiri atau mewakili keluarga
untuk membuat pertukaran dari kad pengenalan merah ke kad pengenalan
biru.
“Mereka sudah mengikuti garis panduan. Tetapi ada permohonan yang tak
diproses sehingga hari ini. Ini penganiayaan,” kata Surendran.
Menurutnya, JPN telah menggunakan prosedur salah dengan menakrifkan
permohonan dengan Artikel 19 Perlembagaan Persekutuan, iaitu permohonan
menjadi warganegara.
“Sedangkan,
mereka sememangnya warganegara. Mereka lahir dan tinggal lama di
Malaysia. Adakah semata-mata tidak cukup dokumentasi maka dinafikan hak
sebagai warganegara? soal Surendran lagi.
Kata beliau, masalah pertukaran kad pengenalan merah kepada biru
antaranya berpunca dari kehilangan dokumen di hospital atau kematian
saksi seperti bidan kampung.
“Ada kes yang dibuktikan saksi, menunjukkan salah seorang dari ibu
bapa pemohon adalah warganegara atau ahli keluarga yang lain. Sepatutnya
pemohon ini dibenarkan memiliki kad pengenalan biru.
“Tapi mengapa mereka diberikan kad pengenalan merah? Tambah rumit,
apabila penentuan ini mutlak di tangan Menteri Dalam Negeri,” kata
Surendran.
Short URL: http://www.keadilandaily.com


No comments:
Post a Comment