4 Julai 2012
Mansor Othman (lima, kanan) bersama dengan barisan Exco menghadiri sidang media hari ini.
GEORGETOWN - Barisan Exco Kerajaan Negeri mengutuk tindakan ganas
sekumpulan ahli Perkasa, didakwa cuba membuat kecoh dan mengancam
keselamatan Ketua Menteri, Lim Guan Eng ketika lawatan kerjanya ke Teluk
Bahang 30 Jun lalu.
Timbalan Ketua Menteri 1, Datuk Mansor Othman yang mewakili barisan
Exco berkata, mereka kecewa atas kejadian itu kerana ia melibatkan isu
keselamatan pemimpin tertinggi Kerajaan Negeri yang sedang melaksanakan
tugasnya.
Menurutnya, Barisan Nasional dan Umno sudah tidak dapat lagi mencari
kesalahan Kerajaan Negeri sehingga terdesak menggunakan cara samseng
untuk menyerang Ketua Menteri.
“Mereka (BN) tidak dapat mencari kesalahan seperti rasuah,
penyelewengan dan kelemahan pentadbiran kerajaan sehingga terdesak
melakukan serangan peribadi.
“Bukan sahaja melakukan serangan politik, malah kumpulan yang tidak
bertanggungjawab ini juga cuba mengheret keluarga Ketua Menteri dengan
fitnah dan tuduhan palsu," katanya pada sidang media di sini, hari ini.
Hanya Timbalan Ketua Menteri 2, P Ramasamy dan Exco Kesihatan,
Kebajikan dan Alam Sekitar, Phee Boon Poh tidak hadir.
Dalam pada itu, Mansor turut kesal dengan kenyataan Timbalan Ketua
Polis Pulau Pinangi, Datuk Abdul Rahim Jaafar sebelum ini yang
seolah-olah sudah mengetahui tentang perancangan dan kehadiran kumpulan
Perkasa pada hari kejadian.
“Bagaimana seorang Timbalan Ketua Polis boleh berkata 'kalau tidak
kerana kehadiran polis, Ketua Menteri akan cedera lebih teruk lagi'.
“Kenyataanya ini seolah-olah polis terlebih dahulu mengetahui
kehadiran kumpulan samseng ini. Barisan Exco mempersoalkan kenapa tiada
langsung tindakan pencegahan diambil," katanya.
Mansor turut menggesa polis segera menyiasat dan mengambil
tindakan sewajarnya terhadap kumpulan samseng berkenaan selain mendesak
pihak keselamatan memberi perlindungan sewajarnya kepada pimpinan
tertinggi Kerajaan Negeri.
No comments:
Post a Comment