2 MP keluar BN tanda rakyat Sabah hilang keyakinan pada Najib
(Oleh
Masdar Wahid)
KUALA LUMPUR 30 Julai: KEADILAN mengalu-alukan penubuhan Pakatan
Perubahan Sabah (PPS) dan Angkatan Perubahan Sabah (APS) serta kesediaan
gabungan itu bersatu di bawah Pakatan Rakyat, kata Timbalan
Presidennya, Azmin Ali.
“KEADILAN mengalu-alukan penubuhan Pakatan Perubahan Sabah dan
Angkatan Perubahan Sabah serta kesediaannya bersatu di bawah payung
Pakatan Rakyat untuk menjana arus perubahan dalam Pilihan Raya Umum ke
13.
“Ini menandakan keyakinan rakyat Sabah kepada Datuk Seri Anwar
Ibrahim sebagai peneraju utama dalam Pakatan Rakyat yang Insha Allah
akan dinobatkan sebagai Perdana Menteri Malaysia yang ketujuh,” katanya
dalam kenyataan.
Beliau mengulas tindakan Ahli Parlimen (MP) Beaufort, Datuk Seri
Lajim Ukin menubuh PPS dan Ahli Parlimen Pertubuhan Pasokmomogun
Kadazandusun Murut Bersatu (Upko), Datuk Seri Wilfred Bumburing
membentuk APS di Sabah semalam.
Azmin berkata, tindakan kedua-dua pemimpin BN itu bukti kejayaan
agenda reformasi yang disemai lebih 10 tahun lalu agar pemimpin dan
rakyat berani bangkit meruntuh tembok ketakutan dan kezaliman.
“Sudah tiba masanya rakyat Sabah menentukan masa depan sendiri serta
menikmati kekayaan negeri yang selama ini diagih secara tidak adil oleh
Umno BN.
“Dua pengumuman penting bersejarah itu juga menjadi bukti rakyat
Sabah sudah hilang keyakinan kepada kepimpinan Datuk Seri Najib Razak
dan BN,” katanya yang turut menyokong slogan kempen ‘Ini kali-lah’ untuk
tumbangkan Umno BN.
Lajim yang juga bekas Timbalan Ketua Menteri Sabah sudah meletak
jawatan sebagai Ketua Cawangan Umno Kerambai Kebatu, Ahli Majlis
Tertinggi Umno dan Pengerusi BN Beaufort.
Manakala Bumburing yang meletak jawatan sebagai Pengerusi BN Tuaran
ialah Timbalan Presiden Upko dan bekas MP Tuaran beberapa penggal.
PPS pimpinan Lajim akan memfokuskan pengundi Bumiputera Islam
manakala APS yang diterajui Bumburing akan mengumpul kekuatan pengundi
Bumiputara Bukan Islam di Sabah menjelang PRU akan datang untuk
menyokong Pakatan Rakyat.
Short URL: http://www.keadilandaily.com
No comments:
Post a Comment