Kenyataan Umum
6 Julai 2012
Jika Uncle Seekers salah dakwa terus dia di mahkamah, harap polis boleh bertindak pantas seperti ini juga dalam kes laporan rasuah
Kenyataan ini dikeluarkan
bersifat pandangan peribadi. Setelah mendapat berita mengenai
penangkapan seorang blogger Syed Abdullah Syed Husein yang juga
dikenali sebagai Uncle Seekers, saya terpanggil meneliti blog beliau
yang dikatakan kontraversi tersebut.
Jujurnya
penulisan beliau sememangnya bersifat 'menyinggung' tetapi tidak boleh
rasanya untuk membuang terus semua fakta yang dimunculkan. Walau
apapun agak pelik juga hanya dengan tulisan berbentuk gossip itu PDRM
bersungguh - sungguh melakukan operasi sehingga menahan beliau dan
teman wanitanya berhampiran Tol Senawang pada waktu malam. Kenapa tidak
dipanggil sahaja beliau untuk menyerahkan diri di Balai Polis ?
Membaca berita selepas itu pula menyatakan yang beliau dan
teman wanitanya telah ditahan reman selama 10 hari, mungkin perintah
tahanan reman 117 Kanun Acara Jenayah ada alasan digunakan ke atas
beliau yang merupakan pemilik blog tersebut, tetapi apa kena mengena
teman wanitanya turut ditahan reman sehingga 10 hari juga. Ini
menimbulkan persoalan.
Kenyataan polis yang menyatakan
kertas siasatan dibuka dibawah Akta Rahsia Rasmi 1972 juga mengundang
persoalan. Apa rahsia rasmi yang didedah sehingga serius sangat ?
Adakah jumlah kenderaan individu tertentu atau gambar kereta atau
gambar individu tertentu dengan kekasihnya tertakluk dalam rahsia
rasmi kerajaan ? Atau tuduhan beliau mengenai beberapa pegawai tinggi
polis terlibat salah laku atau kesalahan beliau mengingatkan mengenai
kes kerabat Johor menyerang kerabat NS sehingga melibatkan kes culik,
mencederakan dan gaduh gempar tempat awam telah terkandung dalam akta
rahsia negara ?
Jika beliau menghina raja dan terkandung
dalam undang - undang ia merupakan kesalahan maka beliau wajar
dihadapkan ke mahkamah dan mendapat perbicaraan sewajarnya.
Diharapkan pasukan polis dan peguam negara boleh juga
bertindak sebegini serius khususnya dalam menangani laporan - laporan
yang melibatkan kepentingan rakyat terbanyak seperti rasuah dan
kehilangan wang negara.
Sekian.
che'GuBard
No comments:
Post a Comment