sinar harian
6 Julai 2012
Penggunaan dua sistem teknologi garisan gol mendapat lampu hijau semalam. - Foto ihsan The Sun UK
ZURICH - Penggunaan teknologi garisan gol akhirnya mendapat lampu hijau
daripada Lembaga FA Antarabangsa (IFAB) dan akan mula digunakan pada
persaingan Liga Perdana Inggeris (EPL) musim ini.
Susulan siri kontroversi dan polemik termasuk insiden membabitkan gol
Frank Lampard ketika menentang Jerman pada kejohanan Piala Dunia 2012
dan juga semasa Euro 2012 baru-baru ini, sukan bola sepak mengorak
langkah untuk membawa perubahan - mengesan jaringan dengan tepat jika
melibatkan kontroversi.
IFAB memberi kelulusan kepada penggunaan dua sistem iaitu Hawk-Eye dan
GoalRef pada satu mesyuarat yang diadakan di sini, semalam.
Selain ketika persaingan EPL, pendekatan itu akan digunakan semasa
kejohanan Piala Dunia Kelab Fifa Disember ini dan jika berjaya, akan
diguna pakai oleh pertandingan Piala Konfederasi 2013 dan Piala Dunia
2014.
Dipetik BBC, EPL berkata, "Liga Perdana telah lama memperjuangkan
teknologi garisan gol."
"Kami menyambut baik keputusan IFAB hari ini dan kami akan mengadakan
perbincangan dengan kedua-dua (penyedia sistem) Hawk-Eye dan GoalRef
dalam waktu terdekat untuk memperkenalkan teknologi garisan gol dengan
sebaik yang mungkin," katanya.
Setiausaha Agung FA Inggeris, Alex Horne berkata, terserah kepada EPL
untuk memutuskan skala masa pelaksanaan pendekatan baru ini, yang
dinanti-nantikan banyak pihak dengan perasaan bercampur aduk.
Sistem Hawk-Eye telah diuji di St Mary's Stadium milik Southampton pada
Mei lalu.
IFAB menekankan bahawa teknologi itu tidak akan digunakan untuk
membantu pengadil membuat sebarang keputusan lain ketika mengadili
sesuatu perlawanan.
Isu gol kontroversi sekali lagi menjadi tumpuan ketika Euro 2012 yang
berakhir awal minggu ini apabila Ukraine, tuan rumah bersama dinafikan
gol penyamaan pada perlawanan ia ditewaskan oleh England 1-0.
* Jika anda mempunyai pandangan dan ulasan mengenai penggunaan
teknologi garisan gol, sila hantar kepada Sinar Harian Online.
No comments:
Post a Comment