Harakahdaily
| Attif Idris, | 14 Ogs 2012 |
PASIR MAS: Penduduk di sini hairan kenyataan anggota
parlimen Bebas kawasan ini, Datuk Ibrahim Ali kononnya masalah bekalan
air di Pasir Mas begitu kronik.
Sedangkan kata mereka ketika tekanan rendah baru-baru ini, bekalan
air masih dapat disalur dengan tempoh yang agak terhad.
“Ketika itu air kadang-kadang keluar siang, kadang-kadang malam.
Tidak ada air terputus bekalan 24 jam sehingga seminggu seperti didakwa
wakil rakyat terbabit. Ia seperti kenyataan semberono,” kata Mohamad, 50
dari Tendong.
Menurutnya juga dakwaan jenazah seorang penduduk lambat dimandikan
kerana tiada air juga tidak berasas kerana sumber air masih ada.
Pegawai Komunikasi Korporat Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB), Azahari Abd
Rahman berkata, kapasiti pengeluaran air di Loji Kelar sejak 8 Ogos lalu
lebih 64 juta liter sehari berbanding 30 juta liter sebelum ini.
“Tidak ada tempat yang kritikal di jajahan Pasir Mas seperti didakwa
wakil rakyat Bebas,” katanya ketika meninjau tekanan air di beberapa
kampung di sini semalam.
Ketua Operasi AKSB Pasir Mas Mohd Adam Nik Marazi berkata, kakitangan
AKSB sentiasa turun ke bawah bagi memastikan setiap pengguna mendapat
bekalan air.
Katanya juga tiga telaga tiub dijangka akan beroperasi menjelang
Aidilfitri dan empat lagi akan disiapkan selepas Hari Raya nanti.
Sebelum ini Ibrahim dilaporkan mendakwa bekalan air di Pasir Mas
terputus sejak seminggu lalu dan masih belum pulih sepenuhnya.
Pada 9 Ogos lalu Menteri Besar, Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik
Mat dan anggota Exco melawat loji rawatan air di Kelar Pasir Mas dan
kerja-kerja membina telaga tiub.
No comments:
Post a Comment