(Oleh Mohd Martin Kahar)
PETALING JAYA 28 Ogos: Ketua Umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim
dijangka akan menyambut sambutan ambang merdeka dan menyampaikan pidato
khas di Dataran Kemerdekaan Shah Alam pada 30 Ogos ini.
Perkara ini dimaklumkan Setiausaha Agung KEADILAN, Datuk Saifuddin Nasution Ismail hari ini.
“Ia akan dihadiri pimpinan tertinggi Pakatan Rakyat termasuk Menteri
Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim,” katanya pada sidang media di
Ibu Pejabat KEADILAN di sini.
Menurut Saifuddin, Penasihat Ekonomi Selangor itu bakal menyampaikan pidatonya pada jam 11.30 malam menjelang merdeka.
Ditanya sama ada Ahli Parlimen Pakatan Rakyat akan menyambut sambutan
kemerdekaan di Stadium Nasional Bukit Jalil anjuran Barisan Nasional,
Saifuddin berkata, mereka tidak dijemput untuk ke majlis tersebut.
“Ketua Setiausaha (Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan)
dengan jelas tidak menjemput Ahli Parlimen Pakatan Rakyat. Bahkan tidak
ada susunan kerusi untuk kita. Tapi kita boleh datang bersama rakyat di
luar stadium,” ujarnya sinis.
Semalam, Ketua Setiausaha Kementeriannya, Kamaruddin Siaraf berkata,
orang ramai boleh menonton sambutan kemerdekaan menerusi layar di luar
stadium kerana tempat duduk hanya dikhaskan untuk orang kenamaan,
anggota parti komponen BN, penjawat awam, pelajar sekolah dan kumpulan
khas yang terpilih.
Logo dan tema Pakatan diterima baik
Dalam pada itu, Saifuddin berkata, logo Hari Kemerdekaan Pakatan
Rakyat dengan temanya ‘Senegara, Sebangsa, Sejiwa’ diterima baik oleh
rakyat.
Malah katanya, kempen menggunakan logo tersebut kini giat dijalankan
di negeri-negeri Pakatan iaitu di Selangor, Kelantan, Kedah dan Pulau
Pinang.
“Tema dan logo diterima baik, bahkan di negeri Pakatan Rakyat, pintu
gerbang dinaikkan (logo) dengan begitu meriah. Di Selangor juga sudah
dinaikkan semalam.
“Tidak ada apa-apa masalah. Kita menyatakan pendirian menolak tema
dan logo Umno BN yang berbentuk partisan. Kita tampil dengan tema yang
lebih berbentuk masyarakat dan sekarang tiba masanya untuk kita
merayakannya,” jelas beliau.
Short URL: http://www.keadilandaily.com
No comments:
Post a Comment