Friday, August 24, 2012

AMK cabar Pemuda Umno bantah Seksyen 114A

(Oleh Aliff Fikri)
KUALA LUMPUR 23 Ogos: Angkatan Muda KEADILAN (AMK) mencabar Pemuda Umno supaya berani ke depan bersama KEADILAN menentang Sekysen 114A Akta Keterangan 1950 yang tidak relevan.

Ketuanya, Shamsul Iskandar Mohd Akin berkata, Seksyen 114 sepatutnya dimansuhkan segera kerana ia mengancam dan menyekat privatasi pengguna internet.
“Undang-undang seperti ini tidak munasabah, apakah ‘posting’ serta komen dalam facebook itu boleh menggugat dan menganggu keselamatan? Ataupun ia sebenarnya bertujuan untuk menghalang rakyat dari mendapat informasi? Jelas undang-undang ini sangat bertentangan dengan perlembagaan.

“Saya cabar Pemuda Umno jangan hanya setakat berani lapor kepada polis tapi takut untuk  menuntut dan membantah agar Seksyen 114 dihapuskan secepat mungkin,” katanya ketika dihubungi.

Beliau mengulas laporan polis oleh Pemuda Umno Pusat yang mahu menyiasat kewujudan akaun laman sosial facebook yang bernama Pemuda Umno Malaysia.
Sebelum ini, Pemuda Umno Pusat meminta polis menyiasat kewujudan satu akaun laman sosial facebook kontroversi, yang membawa mesej undi kepada Pakatan Rakyat (PR) bermakna sokongan kepada usaha menjadikan Kristian sebagai agama Persekutuan.

“Saya mengucapkan tahniah kepada Pemuda Umno di bawah kepimpinan saudara Khairy Jamaluddin kerana menjadi mangsa pertama Seksyen 114, senjata makan tuan.
“Sepatutnya mereka Pemuda Umno mengetahui tentang kewujudan akaun ini lebih awal lagi bukannya selepas ‘posting’ yang menyerang Pakatan Rakyat baru mereka tersedar, ataupun mungkin sebenarnya akaun ini milik mereka?” soal beliau.

Beliau juga berharap polis tidak mengamalkan sikap pilih kasih dalam melakukan siasatan berhubung kes ini.
“Saya berharap pihak polis tidak ‘double standard’ dan menyiasat perkara ini dengan sebetulnya jika benar Pemuda Umno tidak bersalah dan tidak tahu menahu tentang kewujudan akaun ini,” kata beliau.

Pada 14 Ogos lalu, beberapa badan bebas mengadakan Hari Internet Blackout sebagai tanda bantahan terhadap akta baru 114A yang menyekat kebebasan pengguna internet.
 
Short URL: http://www.keadilandaily.com/

No comments:

Post a Comment