Saturday, August 4, 2012

Dijangka ramai pemimpin BN beralih sokongan

 sinar harian
4 Ogos 2012
Naib Presiden PKR,
 Tian Chua
Naib Presiden PKR, Tian Chua
SHAH ALAM – PKR memberi gambaran awal berhubung 'berita baik' yang akan diumumkan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim sempena lawatannya di Sabah, Sabtu depan, dengan mendedahkan lebih ramai pemimpin Barisan Nasional (BN) akan berhijrah menyokong Pakatan Rakyat (PR).

Naib Presiden PKR, Tian Chua berkata, kedudukan BN di Sabah dijangka akan tergugat dan bakal berdepan kemelut, sekiranya 'berita baik' itu diumumkan nanti.

"Kejutan ini adalah 'gempa bumi' buat BN kerana sokongan terhadap PR di Sabah semakin kukuh apabila pemimpin BN tinggalkan parti itu dalam masa terdekat," katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengulas kenyataan Anwar kelmarin yang memberitahu, akan ada lebih banyak 'berita baik' sempena lawatan beliau ke Sabah 12 Ogos ini.

Ketika ditanya sama ada hanya seorang pemimpin terlibat, Tian Chua berkata, dijangka lebih daripada seorang akan tinggalkan BN dan bukan hanya Ahli Parlimen.

Bagaimanapun, Tian Chua enggan dedahkan lebih lanjut dan menyerahkan kepada Anwar untuk mengumumkannya.

Hujung bulan lalu, Ahli Parlimen Beaufort, Datuk Seri Lajim Ukin dan Ahli Parlimen Tuaran, Datuk Seri Wilfred Bumburing, meletakkan jawatan dalam parti.

No comments:

Post a Comment