Wednesday, August 29, 2012

Dr Haron Din kata 'Tun Mahathir harus bertaubat'

sinar harian
29 Ogos 2012
Haron Din
$entry.content.caption.value
SHAH ALAM – Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad harus bertaubat kerana mengeluarkan kenyataan yang merosakkan akidah dirinya dan umat yang percaya kepada kata-katanya.

Timbalan Mursyidul Am Pas, Datuk Dr Haron Din berkata, tulisan Dr Mahathir dalam blognya berbunyi Better the devil you know than the angel you don’t yang membawa maksud  lebih baik syaitan yang anda kenali daripada malaikat yang anda tidak dikenali’ adalah pegangan yang silap.

Menurutnya, tiada istilah atau ayat di dalam al-Quran yang menjelaskan malaikat lebih buruk berbanding dengan syaitan.

“Malaikat adalah makhluk yang tidak pernah derhaka kepada ALLAH dan melakukan apa sahaja yang diperintahkan. Kenyataan (Dr Mahathir) itu seolah-olah ada malaikat yang lebih teruk daripada syaitan.

“Oleh itu, umat Islam tidak boleh mengambil pepatah Inggeris itu kerana ia boleh merosakkan akidah,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Katanya, kenyataan Dr Mahathir itu ternyata memakan diri sendiri kerana umum terutamanya umat Islam mengetahui syaitan itu adalah makhluk ALLAH yang paling kejam dan derhaka.

Selain itu, sebagai bekas pemimpin tertinggi negara dalam tempoh yang lama, adalah tidak wajar Dr Mahathir membuat kenyataan sedemikian rupa dengan melabelkan sesuatu pihak atau pertubuhan dengan nama seburuk itu.

“Ia berlawanan dengan sifat syaitan kerana mereka memang diakui sebagai makhluk yang jahat dan derhaka kepada perintah ALLAH,” katanya.

Pada 22 Ogos lalu, dalam entri blog Dr Mahathir di chedet.cc/blog/ bertajuk ‘Change’ atau ‘berubah’ ada menyebut ‘lebih baik syaitan yang dikenali daripada malaikat yang tidak dikenali’ yang menggesa pembaca supaya tidak menyokong Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang disifatkannya sama dengan Presiden Amerika Syarikat, Barrack Obama.

Pada sambutan rumah terbuka sempena Hari Raya baru-baru ini, Dr Mahathir dilaporkan berkata, syaitan yang dimaksudkannya dalam blog itu merujuk kepada kerajaan Barisan Nasional (BN).

No comments:

Post a Comment