| Harakahdaily, | 14 Ogs 2012 |
KUALA LUMPUR: Majlis
Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) mendapat berita terkini
dari Arakan berkenaan nasib umat Islam Rohingya tertindas menjelang Hari
Raya Aidilfitri yang akan disambut dalam seminggu lagi.
Menurut Setiausaha Agungnya, Mohd Azmi Abdul Hamid, sejak dari
Ramadhan umat Islam di sana tidak boleh solat hampir semua di masjid
pada semua waktu terutama di bandar.
“Hanya masjid di kampung sahaja yang dibenarkan solat Zohor dan Asar
sahaja. Solat Jumaat tidak dibenar sama sekali.
“Hanya dibenarkan 10 orang sahaja, itu pun perlu bagi senarai nama
kepada pihak polis. Solat tarawih tidak dibenarkan sama sekali di semua
masjid,” ujarnya dalam satu kenyataan.
Katanya, di daerah Maungdaw terdapat 178 masjid dan surau sementara
di kawasan bandar ada lebih kurang 20 masjid.
Menurutnya, hampir semua harta di rumah etnik Rohingya yang diserang
dirampas terutama di kawasan kuarter 5, selatan Maungdaw.
Beliau menjelaskan, kebanyakan mereka tidak dapat berpuasa kerana
ketiadaan makanan sama sekali.
Tambahnya lagi, jika ada yang berpuasa hanya memakan nasi sahaja
tanpa sebarang lauk dan meminum air telaga dan air hujan kerana sekarang
musim hujan.
Menurut Azmi, makanan tidak dapat dibeli kerana tidak selamat untuk
membeli di kedai etnik Rakheine dan memang, tidak dibenar menjual
makanan kepada orang Islam, jika ada yang menjual dijual dengan harga
dua kali ganda.
“Kesengsaraan kaum Rohingya pada bulan Ramadhan kali ini amat
meruncing. Laporan yang Mapim terima jelas menunjukkan bahawa mereka
tidak akan menikmati Aidil Fitri untuk tahun ini,” ujarnya.
Justeru, kata Azmi, Mapim sangat mengharapkan semua pihak dari
kalangan umat Islam di seluruh negara tidak melupakan penderitaan
saudara Islam di Arakan.
“Mereka sangat mendambakan sumbangan bantuan dengan kadar segera,”
ujarnya.
Sehingga ini, kata Mohd Azmi bantuan makanan sebanyak 5 kontena sudah
siap dihantar.
Menurutnya, Mapim hanya menunggu kebenaran masuk ke Arakan dan
kesediaan pihak kerajaan untuk kapal kargo masuk ke pelabuhan.
No comments:
Post a Comment