(Oleh
Aliff Fikri)
KUALA LUMPUR 3 Ogos: Pertama kali dalam sejarah negara, lagu tema
Hari Kebangsaan dijadikan kempen untuk menyampaikan agenda parti
politik.
Mengecam tindakan itu, Angkatan
Muda KEADILAN (AMK) mendesak kerajaan Umno Barisan Nasional menarik
balik lagu tema ‘Janji Ditepati’ yang disalahguna sebagai medium untuk
kempen politik mereka.
“Tidak pernah berlaku dalam mana-mana lagu patriotik khususnya untuk
sambutan Hari Kebangsaan, gubahan liriknya secara langsung mengaitkan
dasar ‘one-off’ kerajaan seperti yang dilakukan sekarang dengan menyebut
perihal BR1M, KR1M dan Klinik 1Malaysia.
“AMK mendesak kerajaan tanpa sebarang kompromi menalik balik lagu
tema tersebut dan memanggil karyawan muzik negara untuk kembali mengubah
lagu baru yang lebih menepati jiwa dan semangat kemerdekaan tulen,”
kata Ketuanya, Shamsul Iskandar Mohd Akin.
Kerajaan kata Shamsul, harus berhenti mempropagandakan segala perkara
di bawah kawalan mereka kerana selagi tabiat jelek ini diteruskan,
rakyat akan menolaknya tanpa kompromi.
“Ini menunjukkan sindrom ‘hilang idea’ sehingga terpaksa mencedok
isu-isu yang tidak berkait dengan Hari Kebangsaan,” katanya dalam
kenyataan.
Beliau turut menempelak Umno BN kerana meniru melodinya dari
Indonesia.
“Pendedahan terbaru di ruang maya yang menyaksikan wujudnya persamaan
melodi lagu tersebut dengan lagu sambutan keagamaan gereja di
Indonesia, maka ini memperkuatkan lagi dakwaan bahawa kerajaan bukan
sekadar semberono mempropagandakan lagu tema tetapi turut menciplak
karya orang lain,” kata Shamsul.
Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr Rais
Yatim turut dibidas kerana mengenepikan karyawan dengan membuat
keputusan sendiri berhubung Hari Kebangsaan tahun ini.
“Jika diteliti, saban tahun terdahulu, kelompok karyawan diraikan
melalui pertandingan mencipta logo ataupun lagu tema bagi sambutan Hari
Kebangsaan. Tetapi Rais Yatim terbukti tidak meletakkan dirinya di era
moden ini dengan membuat keputusan sehala tanpa mengambil kira pandangan
khalayak,” tegas beliau.
Inisiatif kerajaan tahun ini melalui Kementerian Penerangan bagi
meraikan Hari Kebangsaan mencetuskan kontroversi dan mendapat kecaman
pelbagai pihak kerana menjadikannya agenda politik parti pemerintah.
Dalam perkembangan berkaitan, Rais mengumumkan penubuhan panel
siasatan bagi menyiasat lagu kemerdekaan yang didakwa menciplak lagu
gereja Indonesia.
Short URL: http://www.keadilandaily.com
No comments:
Post a Comment