(Oleh
Mohd Martin Kahar)
PETALING JAYA 31 Julai: KEADILAN memperkenalkan formula untuk
mengimbangi penurunan cukai jualan kenderaan dan eksais iaitu dengan
menghapuskan pemberian permit import (AP) secara berperingkat-peringkat
bermula 2013.
Pengarah Strateginya, Rafizi Ramli berkata, sementara AP dimansuh
sepenuhnya menjelang 2015, jualan AP pula akan dibuka kepada bidaan
umum.
Menurutnya, bidaan akan bermula dengan harga tertentu mengikut
kategori kenderaan dan penggunaan bahan api, bertujuan menggalakkan
lebih banyak kenderaan jimat bahan api diperkenalkan.
“Harga permulaan bidaan ditetapkan pada RM10,000 bagi kategori jimat
bahan api, RM20,000 bagi kenderaan biasa dan RM30,000 bagi kenderaan
berkuasa tinggi,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat KEADILAN di
sini hari ini.
Rafizi berkata, jika jualan AP dibuka kepada proses bidaan, maka
harga purata bagi setiap AP adalah RM40,000.
Beliau berkata, pendapatan tambahan daripada hasil AP yang dirombak
akan memastikan perbendaharaan negara kekal mendapat antara RM2 bilion
hingga RM3 bilion setiap tahun.
“Dengan anggaran 70,000 AP dikeluarkan setiap tahun, ini akan membawa
hasil sehingga RM2.8 bilion setiap tahun kepada negara,” katanya.
Tambah Rafizi, harga kereta akan tetap murah walaupun AP ditentukan
oleh proses bidaan dan penghapusan cukai eksais secara berperingkat.
Katanya, pengurangan cukai eksais kereta berjumlah RM8 bilion akan
meningkatkan perbelanjaan rakyat sekaligus keuntungan itu akan dipulang
kembali kepada kerajaan.
“Apabila perbelanjaan rakyat meningkat, ia akan merancakkan ekonomi
negara melalui cukai-cukai yang lain,” jelas beliau.
Short URL:
http://www.keadilandaily.com/
No comments:
Post a Comment