SITI AZIELAH WAHI
PUTRAJAYA: Wanita
yang terlibat dalam kejadian amuk di Jabatan Perdana Menteri (JPM) awal
Julai lalu memakai topeng 'Power Rangers' warna merah bagi mengelak
wajahnya dirakam media selepas selesai sebutan kesnya di Mahkamah Sesyen
di sini, hari ini.
Muhdalena
Ahmad dilihat hadir ke mahkamah berbaju dan bertudung merah, ditemani
bapanya, sempat menunjukkan isyarat keamanan ketika wajahnya cuba
dirakam media.
Pada prosiding hari ini, mahkamah mengarahkan wanita itu, melantik peguam secepat mungkin.
Hakim
Mohd Kafli Che Ali berkata, mahkamah memberi tempoh dalam masa satu
bulan untuk dia melantik peguam supaya semua isu berkaitan
dokumen-dokumen kes itu boleh diselesaikan sebelum tarikh bicara
ditetapkan.
Mahkamah turut menetapkan tarikh 12 September depan untuk pengurusan kes berkenaan.
Terdahulu,
Timbalan Pendakwa Raya Siti Nor Mazrah Ahmad Din berkata, tertuduh
perlu melantik peguam dan menyelesaikan segera perkara-perkara yang
dipersetujui antara pihak pendakwaan dengan tertuduh sebelum
perbicaraan.
Menurutnya,
terdapat pindaan dalam kanun prosedur jenayah yang menyatakan, kes
perbicaraan perlu dilaksanakan dalam tempoh 90 hari dari tarikh didakwa.
Pada 19 Julai lalu, Muhdalena Ahmad, 28, mengaku tidak bersalah atas dua tuduhan iaitu mengugut polis dan membawa pedang.
Prosiding
pendakwaan ketika itu terpaksa dijalankan di Hospital Putrajaya kerana
dia sedang dirawat selepas cedera dalam kejadian amuk berkenaan.
Bagi
tuduhan pertama, dia didakwa melakukan ugutan jenayah dengan mengugut
mendatangkan cedera parah kepada seorang anggota polis Ridzuan Megat
Ahmad manakala bagi tuduhan kedua, dia didakwa membawa sebilah pedang.
Dia
didakwa melakukan kedua-dua kesalahan itu di Kompleks B, JPM, Presint
1, Putrajaya kira-kira pukul 2.30 petang, 9 Julai lalu.
Kesalahan
pertama didakwa mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang membawa
hukuman penjara tujuh tahun atau didenda atau kedua-duanya sekali jika
sabit kesalahan.
Bagi
tuduhan kedua, dia didakwa mengikut Seksyen 7(1)(a) Akta Bahan-Bahan
Kakisan dan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958 yang membawa hukuman
penjara dua tahun atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya sekali
jika sabit kesalahan.
Dia diikat jamin RM10,000 bagi kedua-dua pertuduhan itu.
Pada
kejadian tersebut, dia bersama dengan Khalil Afandi Hamid, 47, mengamuk
di pekarangan Kompleks B, Jabatan Perdana Menteri di Putrajaya
kira-kira jam 2.30 petang, namun Khalil mati ketika dalam perjalanan ke
Hospital Putrajaya selepas terkena tembakan di tangan dan bahagian
ari-ari, manakala Muhdalena turut terkena tembakan di paha kanan.
No comments:
Post a Comment