Saturday, August 11, 2012

MB: Kami takkan sumbat semua ke penjara

Malaysiakini
  •   Ogos 10 2012
WAWANCARA Pegawai negeri yang terbabit dalam ketidakaturan perolehan barang dan perkhidmatan untuk "Karnival Terima Kasih Rakyat" telah ditegur, kata Menteri Besar Selangor.

Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim bagaimanapun menegaskan bahawa beliau tidak akan menyumbat "kesemua mereka ke penjara".

Khalid berkata, siasatan dalaman menemui beberapa ketidakaturan dalam proses perolehan yang melibatkan RM1 juta untuk karnival yang diadakan bagi meraikan ulang tahun keempat pentadbiran Pakatan Rakyat di Selangor pada 25 Mac di Kuala Selangor - yang menyebabkan kebanyakan bayaran dibekukan.

NONE"Apabila saya dapati aktiviti itu tidak dijalankan dengan betul,
saya minta Perbendaharaan negeri mengaudit karnival tersebut untuk memastikan semua dibayar mengikut nilai.

"Dalam pengurusan... jika ini tidak dilakukan dengan betul, maka kita akan memaklumkan kepada mereka dan minta mereka memperbetulkannya.

"Bukan berkata, kami akan sumbat semua orang ke penjara... tetapi kita bagi tahu mereka jika mereka buat lagi, mereka habis," tegas Khalid dalam satu wawancara dengan Malaysiakini baru-baru ini.

Perbendaharaan negeri mendapati perolehan untuk karnival itu yang bernilai lebih daripada RM50,000 tidak mempunyai sebut harga seperti yang dikehendaki dalam peraturan negeri.

Selain itu, didapati juga beberapa pembekal tidak berdaftar, sama ada degan Perbendaharaan negeri atau pusat, atau mengendalikan kerja-kerja di luar skop mereka.

Khalid berkata beberapa pegawai kerajaan negeri yang terlibat dalam proses perolehan untuk karnival tersebut, menjustifikasi perkara itu dengan mengatakan mereka "berada dalam keadaan tergesa-gesa".

Ttetapi ini, tegas menteri besar, tidak boleh dijadikan alasannya.

Menyedari bahawa pemimpin parti antara yang mengemukakan tuntutan tidak mengikut prosedur, Khalid berkata, sebarang perolehan pada masa depan akan memerlukan mereka mengisytiharkan kepentingan dan hubungan dengan kerajaan negeri.

"Ia tidak bermakna jika anda seorang ahli parti, anda boleh mendapatkan (kontrak) Jika anda mahu, maka tawarkan harga yang paling rendah," katanya.

No comments:

Post a Comment