Thursday, August 23, 2012

Nazri: Seksyen 114A Akta Keterangan kekal

Wartawan Sinar Harian 
23 Ogos 2012
 Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz [DIKEMAS KINI] KUALA KANGSAR - Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Aziz berkata, Seksyen 114A Akta Keterangan, yang menjadi kontroversi baru-baru ini, akan kekal. 

 Nazri berkata, keputusan itu dibuat berikutan pembangkang sendiri dilihat tidak menunjukkan kesungguhan untuk menentang pindaan berkenaan. "Kita akan terus kekalkan akta ini, lagipun mereka (pembangkang) tidak bersungguh-sungguh (dalam usaha) untuk membuat sebarang perubahan," kata beliau pada sidang media di sini, hari ini. “Perkara ini telah dibahaskan hampir empat jam, satu tempoh cukup lama, saya juga sudah menjawab semua persoalan yang dibangkitkan mereka (pembangkang). “Apabila sampai masa mengundi, pihak yang tidak bersetuju dengan kerajaan diminta membuat undian ikut suara atau keluar Dewan, tetapi pada ketika itu kedua-duanya tidak berlaku.

 “Keadaan ini sudah jelas membuktikan mereka juga sebenarnya bersetuju dengan pindaan yang dibuat, jadi kita minta supaya mereka jangan bermain politik berhubung isu ini,” katanya. Baru-baru ini, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein mengingatkan agar isu pindaan Seksyen 114A Akta Keterangan tidak dijadikan satu polemik atau isu politik sehingga boleh mengaburi keseluruhan transformasi politik yang sedang dilaksanakan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

 Awal minggu lalu, Najib telah meminta Kabinet meneliti peruntukan tersebut ekoran bantahan banyak pihak, dari kedua-dua sebelah Pakatan Rakyat dan Barisan Nasional. Pindaan membabitkan akta itu diluluskan oleh Parlimen April lalu dan dikuatkuasakan dua bulan kemudian. Mengulas lanjut, Nazri berkata, Seksyen 114A dikekalkan kerana ada perkara yang serius perlu ditangani seperti tindakan pengganas yang memerlukan pindaan bagi melindungi keselamatan negara. Jelasnya, tidak ada mana-mana kerajaan mahu mewujudkan akta untuk menjatuhkan hukuman kepada orang tidak bersalah. “Akta ini juga sebenarnya menggalakkan orang ramai, terutama pemilik portal dan laman sosial agar lebih bertanggungjawab sebelum mengeluarkan sesuatu kenyataan di media maya,” katanya

No comments:

Post a Comment